KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan, 32, tidak berhasrat mencari lelaki yang mendoakan dia dikurniakan zuriat serta sentiasa sihat sejahtera selepas menunaikan solat di masjid, baru-baru ini, tetapi mengakui dia mengenali lelaki terbabit.
Memetik laporan Harian Metro, Elizabeth yang mesra disapa Lizzy berkata, walaupun tidak mengenali rapat lelaki itu, dia tahu individu terbabit adalah penyokong kuatnya sejak awal pembabitan dalam bidang seni sehingga sekarang.
“Gerak hati berkata saya mengenalinya. Saya tak nak panggil dia peminat sebab saya anggap dia sebagai seorang kawan. Dia ada di persembahan pertama saya dari tahun 2014. Sudah bertahun-tahun dia menyokong saya.
“Dia sentiasa sokong dari pelbagai cara. Saya tak tahu bagaimana nak balas balik semua perkara yang dia sudah buat untuk saya dan semua masa dia laburkan kepada saya,” katanya.
Elizabeth juga sangat bersyukur dan berterima kasih kepada setiap individu yang mendoakan baik-baik buatnya, terutama terhadap usahanya mendapatkan zuriat.
Ingatan begitu sangat bermakna besar buatnya apatah lagi selama hampir dua tahun dia berusaha untuk mendapatkan anak.
“Ramai tidak tahu kesulitan yang saya hadapi dalam tempoh hampir dua tahun itu. Untuk mereka ambil masa, ingat dan doakan saya, banyak lagi hal sebenarnya mereka boleh masukkan dalam doa.
“Saya sangat bersyukur, tak mampu nak ungkap rasa terima kasih saya. Walaupun masih belum berhasil dapatkan ‘baby’ buat masa sekarang, saya tahu saya dirahmati dalam banyak cara,” katanya.
Terdahulu, Elizabeth berkongsi dia menangis dan sebak apabila membaca hantaran dan mesej ramai di Threads yang mendoakan kesejahteraannya.
Menerusi hantaran seorang pengguna, dia terdengar seorang lelaki dengan penuh keikhlasan mendoakan Elizabeth selepas mendirikan solat di sebuah masjid.
Elizabeth dan suaminya, Siew Jim mendirikan rumah tangga pada 21 Mac 2021, namun masih belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.
Pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-33 itu juga pernah mengalami dua kali keguguran. – HMetro Online –
IMedikel TV






