MELBOURNE: Bekas juara Wimbledon, Elena Rybakina, memberikan pengajaran berguna kepada pemain remaja, Emerson Jones untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Australia dengan kemenangan mudah 6-1, 6-1, hari ini.
Pilihan keenam dari Kazakhstan itu mempamerkan kehebatannya dengan menguasai pemain berusia 16 tahun itu yang juga pemain junior nombor satu dunia dari Australia, di semua bahagian Arena Margaret Court.
“Dia mempunyai masa depan yang cerah dan akan bertahan lama di arena ini, tetapi saya sangat gembira dengan prestasi saya,” kata Elena, yang tewas di final kepada Aryna Sabalenka dua tahun lalu.
Emerson yang belajar di Akademi Tenis Kebangsaan di Queensland, dianggap sebagai prospek besar di Australia dan dijangka mengikuti jejak bekas juara Melbourne Park, Ash Barty.
Walaupun ketinggalan 1-5, Jones sempat menunjukkan bakatnya dengan mencipta tiga peluang break point.
Elena mengakui bahawa dia sudah membuat persediaan rapi untuk menghadapi Emerson.
“Saya menonton beberapa aksinya. Saya mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan gaya pukulannya,” katanya.
Elena turut mencetuskan kontroversi sebelum kejohanan apabila dia mahu membawa kembali bekas jurulatihnya, Stefano Vukov, ke dalam pasukannya untuk Grand Slam pertama tahun ini.
Vukov, yang membantu Elena menjuarai Wimbledon pada 2022, kini berada di bawah penggantungan sementara WTA kerana didakwa menunjukkan tingkah laku keras dan kasar terhadap pemain.
Dia menafikan sebarang salah laku, dan Elena menegaskan bahawa Vukov tidak pernah bertindak kasar terhadapnya. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






