SIRI animasi popular Ejen Ali kini melangkah ke tahap baharu seterusnya dengan gabungan tenaga bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam misi epik terbaharu menggemparkan.
Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) diperkasakan dengan aksi pengembaraan luar biasa serta ledakan inspirasi dan inovasi dari TNB.
Kerjasama berkuasa tinggi diumumkan seiring dengan pelancaran teaser rasmi terbaharu penuh aksi, sekali gus mencetuskan siri kempen gempak kreatif menjelang pelancaran filem dinanti-nantikan pada tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Nini Yusof berkata, pihaknya berbangga dengan kerjasama itu dan berharap kejayaan kolaborasi filem pertama pada 2019 membuktikan sinergi antara jenama mereka.
“Kami yakin bahawa dunia inovatif Ejen Ali adalah medium terbaik untuk mempamerkan program dan teknologi tenaga dari dunia sebenar yang dikelolakan TNB.
“Sekali gus memberi inspirasi kepada generasi baharu untuk mengamalkan gaya hidup pintar dan lestari.” katanya.
Sementara itu, Pengarah Ejen Ali The Movie 2 dan Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin turut meluahkan penghargaan kerana diberi kepercayaan itu.
“Gabungan ini bukan sahaja membawa Ejen Ali kembali ke layar perak dengan penuh gemilang.
“Malah kami teruja untuk menyampaikan mesej penting dalam kerjasama rapat dengan TNB bagi menjayakan misi ini di pawagam pada tahun depan,” katanya.
Mengulas mengenai kerjasama itu lagi, Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB, Samsul Ariffin Zainuddin berkongsi pendapat pihaknya percaya kuasa penceritaan boleh mencetuskan perubahan dan menyemarakkan inovasi.
EATM2 berkisar latar kejadian di bandar futuristik Cyberaya, mengenai seorang kanak-kanak lelaki secara tidak sengaja direkrut sebagai ejen rahsia oleh agensi perisikan Meta Advance Tactical Agency (Mata).
Ejen Ali bersemangat untuk membuktikan dirinya dalam Projek Satria, sut berperisai dibantu Kecerdasan Buatan (AI) terbaharu Mata.
Ketika Ali bergelut dengan tanggungjawab baharunya untuk menguasai Satria, dia perlu menerima keputusan Mata untuk memberikan rakan (dan saingannya) Alicia sebagai pemegang seterusnya peranti superkomputer, Iris.
Sementara itu, penggodam Neonimus muncul semula untuk mencetuskan kekacauan terhadap Mata, menandakan konspirasi yang lebih besar di Cyberaya. – HMetro Online –
IMedikel TV






