Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menegaskan dakwaan ke atas pihaknya tidak menyiasat aduan penganiayaan haiwan adalah tidak tepat.
DVS menerusi satu kenyataan memaklumkan, pendakwaan yang dibuat oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu adalah tidak merujuk kepada kes atau aduan secara spesifik.
“Berdasarkan rekod sehingga kini, kami telah mengambil tindakan terhadap aduan atau kes yang diadukan.
“Walaubagaimanapun, terdapat sesetengah kes yang dirujuk kepada Pihak Pendakwaraya dan telah diarahkan oleh pihak itu untuk tidak membuat tindakan susulan (no further action – NFA) kerana tiada bukti kukuh untuk dibawa ke peringkat seterusnya,” jelas kenyataan itu pada Jumaat.
Justeru, DVS menyeru pengadu (orang ramai) untuk mengemukakan maklumat aduan yang jelas, lengkap serta bukti kukuh agar siasatan dan pendakwaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, DVS berkata sebarang penyebaran maklumat yang tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat sekaligus berisiko memberi tanggapan negatif terhadap pihaknya.
IMedikel TV






