Home Buletin Semasa DUA KEMATIAN DIREKODKAN DI KELANTAN – KPWKM SERU RAKYAT UTAMAKAN KESELAMATAN

DUA KEMATIAN DIREKODKAN DI KELANTAN – KPWKM SERU RAKYAT UTAMAKAN KESELAMATAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menzahirkan rasa dukacita susulan dua kematian berkaitan banjir yang direkodkan di Kelantan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataan semalam memaklumkan kedua-dua insiden itu berlaku di Gua Musang pada 21 November lalu dan di Tanah Merah pada 26 November lalu.

Setakat 28 November, banjir di seluruh negara kekal serius dengan 242 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) beroperasi, membabitkan 9,033 keluarga dan 27,489 mangsa.

Takziah kepada keluarga mangsa, dan semoga mereka diberi kekuatan menghadapi detik yang amat sukar ini,”katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Khamis, jam 10 malam, menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku di beberapa negeri termasuk Terengganu, Pahang, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan. Negeri lain seperti Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Johor pula berada pada tahap amaran buruk dan waspada.

Keadaan cuaca itu, katanya, meningkatkan risiko banjir kilat, limpahan sungai dan tanah runtuh terutama di kawasan rendah.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digerakkan sejak awal bagi memastikan kelancaran pengurusan bencana bersama kerajaan negeri dan agensi terbabit.

“JKM juga bersedia mengaktifkan PPS tambahan pada bila-bila masa sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk. Bekalan makanan, selimut dan keperluan asas berada pada tahap mencukupi dan akan terus diagihkan mengikut keperluan mangsa,” katanya.

Beliau turut menyeru penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta segera berpindah ke PPS jika diarahkan.

“Utamakan keselamatan ahli keluarga, khususnya kanak-kanak, warga emas dan golongan Orang Kurang upaya (OKU). Elakkan berada berhampiran sungai, kawasan rendah dan lokasi mudah dinaiki air.

“Kita kini berdepan fasa cuaca yang mencabar, dan keselamatan rakyat adalah keutamaan.,” katanya.

KPWKM melalui JKM akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap keluarga yang terjejas menerima bantuan secepat mungkin dan dengan penuh empati.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here