Home Luar Negara DUA KANAK-KANAK GAZA MAUT DISERANG DRON ISRAEL

DUA KANAK-KANAK GAZA MAUT DISERANG DRON ISRAEL

KHAN YUNIS: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian dua kanak-kanak lelaki Palestin dilaporkan maut dalam serangan dron Israel di Gaza hari ini.

Tentera Israel dalam kenyataannya mendakwa pihaknya mengenal pasti dua suspek yang menimbulkan ancaman serta-merta.

Tentera Israel mendakwa mereka melihat dua individu melakukan aktiviti mencurigakan.

Bagaimanapun, bapa saudara kepada kanak-kanak yang terbunuh itu memberitahu AFP, kedua-duanya adalah adik-beradik berusia lapan dan 10 tahun dan mereka keluar untuk mencari kayu api.

Mahmud Bassal, jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, memberitahu AFP bahawa dua beradik itu terbunuh dalam serangan dron Israel di Bani Suheila, timur Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza, sekitar jam 8.30 pagi waktu tempatan.

Mangsa dikenali sebagai Fadi dan Jumaa Tamer Abu Assi.

Hospital Nasser di Khan Yunis mengesahkan menerima mayat kanak-kanak terbabit, dan pengebumian mereka diadakan pada sebelah petang.

Pengebumian itu dihadiri lebih 60 orang.

Bapa saudara mangsa, Alaa Abu Assi, berkata mereka adalah kanak-kanak yang tidak bersalah dan tidak memiliki sebarang roket atau bom, sambil menambah mereka berusia lapan dan 10 tahun.

“Mereka sedang mengumpul kayu api untuk membantu bapa mereka yang kurang upaya… Kami pergi dan menemui mereka dalam keadaan berkecai, dan kami membawanya pulang,” katanya kepada AFP.

Bapa saudara yang lain, Baha Abu Assi, berkata kanak-kanak itu mencari kayu api kerana kekurangan gas dan kekurangan makanan.

Serangan dron itu dilaporkan berlaku di sekitar Garisan Kuning (Yellow Line) di Semenanjung Gaza, satu sempadan yang ditandakan dengan blok konkrit berwarna kuning.

Di bawah perjanjian gencatan senjata yang diuruskan oleh Amerika Syarikat (AS) antara Israel dan Hamas, tentera Israel dilaporkan berundur ke posisi di belakang Garisan Kuning itu.

Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, sudah berlaku beberapa insiden maut membabitkan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah penduduk di kawasan Garisan Kuning.

Dalam satu kenyataan, tentera Israel berkata, anggota tentera mereka mengenal pasti dua suspek yang melintasi Garisan Kuning, menjalankan aktiviti mencurigakan di darat, dan menghampiri pasukan IDF (tentera Israel) yang beroperasi di selatan Semenanjung Gaza, menimbulkan ancaman serta-merta kepada mereka.

“Berikutan pengenalpastian itu, IAF (Tentera Udara Israel) menghapuskan suspek bagi menghilangkan ancaman terbabit,” kata kenyataan itu.

Kementerian Kesihatan di Gaza yang ditadbir Hamas memaklumkan, seramai 354 rakyat Palestin telah terbunuh oleh tembakan Israel sejak gencatan senjata bermula. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here