Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TANAH MERAH: Kenaikan harga ubi tidak mematahkan semangat seorang warga emas untuk terus mencari rezeki dengan menjual ubi, jagung dan kacang, di hadapan rumah, sambil ditemani anak serta cucu tercin
Bagi Rohani Daud, 65, hasil jualan ubi dan jagung yang diusahakannya sejak lebih 30 tahun lepas menjadi sumber pendapatan utama.

Malah menurutnya dengan hasil menjual ubi juga dia mampu membina sebuah rumah untuk didiaminya sekeluarga serta membesarkan sembilan anak sebelum ini.
“Menjual ubi dan jagung di tepi jalan memang sangat mencabar kerana sepanjang jalan Tanah Merah ini, hampir 30 penjual menjual barangan sama, jadi memang perlu bergilir nasib.
“Tapi saya tetap bertahan kerana inilah sumber rezeki saya sejak dahulu, dengan hasil jualan inilah, saya dapat membesarkan sembilan orang anak,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui kru IMedikel TV di Kampung Paloh, Bukit Panau, di sini, baru-baru ini.

Rohani berkata, dia menjual ubi kayu, ubi kembili dan ubi badak pada harga RM10 satu kilogram (kg), berbanding sebelum ini RM3 untuk sekilo.
Menurutnya, bukan sahaja ubi, harga jagung turut meningkat sekali gus menyebabkan pelanggan semakin berkurang walaupun kini memasuki musim tengkujuh.
”Dalam seminggu, saya hanya memperoleh sekitar RM40 hingga RM70 sahaja tetapi saya tidak kisah sebab seronok ditemani cucu-cucu kecil saya, kalau mereka nak tidur, ibunya akan bawa buaian untuk tidurkan mereka di sini,” katanya.
Mengulas lanjut, sepanjang musim tengkujuh, Rohani mengambil bekalan sebanyak 150 kg ubi untuk dijual, namun dalam sehari, hanya sekitar dua kilogram sahaja yang terjual.
Sebelum ini, Rohani dibantu suaminya Mat Deris Daud, namun kini meneruskan usaha itu seorang diri selepas suaminya meninggal dunia enam tahun lalu.
IMedikel TV






