Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
MACHANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyelesaikan kes kelewatan pendaftaran kelahiran membabitkan dua generasi sebuah keluarga di negeri ini dalam tempoh kurang sebulan, sekali gus membolehkan sembilan individu menerima dokumen pengenalan diri masing-masing.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata kes berkenaan membabitkan Fauziah Mohamad, 32, bersama empat anaknya serta empat lagi adik-beradik kandungnya yang sebelum ini tidak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan diri.
Selain Fauziah, mereka yang menerima dokumen pengenalan diri itu adalah adik beradiknya iaitu Mohd Lazim, 37; Suhaimi, 39, Asliza, 41 dan Norafidah, 44.
Manakala lima lagi penerima adalah anak kepada Fauziah iaitu Suhana Wahida, 18; Mohd Asyraf, 16; Mohd Adam Danial, 13; Siti Aisyah, 7, dan Mohd Izarul Rahaman, 5.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kelewatan mendaftar kelahiran berikutan masalah keluarga dan kekerapan berpindah tempat tinggal.
“Semua bermula pada 7 Februari lalu apabila Fauziah hadir ke Program Kaunter Lorong kerjasama JPN dan badan bukan kerajaan (NGO) diwakili Pertubuhan Jejak Jalanan di Chow Kit.
“Dia memaklumkan bahawa dirinya dan empat anak tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. Semakan segera yang dibuat mendapati maklumat itu adalah benar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Mekar dan Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Simpul Berlubang, Labok, di sini, semalam.
Saifuddin Nasution berkata, hasil siasatan lanjut oleh JPN Kelantan mendapati bukan sahaja Fauziah dan anak-anaknya, malah empat adik-beradik beliau di kampung turut berdepan masalah sama, menjadikan kes itu membabitkan dua generasi tanpa dokumen pengenalan diri.
Susulan itu, pada 15 Februari, JPN Kelantan memanggil semua individu terbabit bersama beberapa saksi termasuk saksi kelahiran bagi melengkapkan proses siasatan di bawah prosedur pendaftaran lewat kelahiran, selaras dengan peruntukan undang-undang berkaitan.
“Pada 28 Februari, sembilan sijil kelahiran berjaya dikeluarkan, diikuti lapan MyKad dan satu MyKid. Hari ini kita hadir sendiri untuk menyerahkan dokumen berkenaan,” katanya.
Beliau menegaskan, kejayaan menyelesaikan kes dalam tempoh 21 hari itu membuktikan komitmen KDN dan JPN dalam menangani isu dokumentasi rakyat tanpa menunggu mereka hadir ke pejabat.
“Kita tidak mampu mengesan semua kes, tetapi apabila menerima maklumat daripada rakan strategik seperti NGO, kita akan bertindak segera. Dalam kes ini, maklumat diterima 7 Februari, siasatan pada 15 Februari dan dokumen dikeluarkan 28 Februari semuanya selesai dalam bulan yang sama,” katanya.
Saifuddin Nasution turut menyeru mana-mana individu yang masih belum memiliki sijil kelahiran atau kad pengenalan diri agar segera tampil untuk mendaftar bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan asas termasuk akses pendidikan, peluang pekerjaan serta pelbagai inisiatif bantuan kerajaan.
“Dokumen pengenalan diri amat penting untuk akses kepada pendidikan di sekolah bantuan kerajaan, peluang pekerjaan dan penerimaan bantuan kerajaan.
“Penyelesaian kes sembilan individu ini memberi impak besar, khususnya kepada anak-anak yang ingin meneruskan persekolahan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga bersedia mempertimbangkan laluan khas atau ‘fast track’ bagi membolehkan golongan terbabit mengikuti latihan kemahiran seperti menjahit, memasak dan bidang lain melalui kerjasama agensi berkaitan.
IMedikel TV






