Home Hiburan NUHA BAHRIN AKUI KARIER SENI PENUH CABARAN

NUHA BAHRIN AKUI KARIER SENI PENUH CABARAN

79
0

Penyanyi Nuha Bahrin pernah mencetuskan fenomena luar biasa menerusi lagu Casablanca yang melonjakkan kariernya hingga ke peringkat antarabangsa.

Memetik laporan Harian Metro, namun, seiring perjalanan waktu, ada yang mula melihat rentak seninya seakan-akan sedikit perlahan berbanding ketika fasa awal kemunculannya.

Bagaimanapun, dia menyifatkan pasang surut dalam industri muzik sebagai satu lumrah perlu dihadapi dengan hati yang terbuka.

“Saya rasa itu perkara biasa. Ia sebahagian daripada perjalanan dalam industri ini dan saya rasa saya sudah bersedia untuk menghadapinya,” katanya.

Nuha mengakui bahawa genre Timur Tengah yang dibawakannya mempunyai pasaran yang sangat kecil (niche) dan bukan genre arus perdana.

Cabaran utamanya kini adalah mencari keseimbangan bagi memuaskan hati pendengar arus perdana dan juga peminat tegar lagu Arab.

Malah, dia mendedahkan terdapat banyak perancangan single baharu yang tertunda sebelum ini bukan disebabkan faktor komposer atau kewangan, sebaliknya kerana proses mencari lagu yang benar-benar tepat.

“Saya percaya ada hikmah di sebalik setiap penundaan. Apa yang kita rancang dan kemudian tertunda itu pasti ada hikmah,” katanya.

Bercakap mengenai karier solonya selepas menempa nama dengan Naufal Azrin, Nuha melihat ia sebagai satu peluang untuk meneroka potensi diri.

Walaupun sedar peminat masih merindui gandingan mereka, Nuha tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama semula pada masa hadapan.

Menariknya, Nuha juga memberikan bayangan mengenai perancangan masa depan bersama label Universal Music Malaysia yang membabitkan kolaborasi di rantau Timur Tengah atau Turkiye.

“Saya sangat terbuka. Saya akan bawa ibu saya sekali! Saya akan ambil apa sahaja peluang yang ada untuk mengembangkan bakat saya sebagai penyanyi,” katanya.

Dia yang kini gigih mempelajari komunikasi dalam bahasa Arab meskipun mengakui ia sangat mencabar memilih untuk bersikap realistik. Baginya, industri muzik kini penuh dengan bakat hebat yang memberikan persaingan sengit.

“Saya cuba untuk tidak bersaing dengan sesiapa melainkan diri sendiri. Saya bersyukur sekurang-kurangnya mempunyai satu penanda aras untuk dibandingkan dengan diri saya sendiri. Ia adalah persaingan yang sihat,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here