KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima mendakwa tidak tahu menahu sama ada drama terbitan syarikat produksinya, Rumah Karya Citra, iaitu Akulah Balqis yang disiarkan pada 2015, menjadi punca tercetusnya konflik dua pelakon, Puteri Balqis dan Mia Sara Nasuha.
Memetik laporan Berita Harian, Erma berkata, dia hanya memberi tumpuan terhadap penggambaran drama berkenaan termasuk babak membabitkan Puteri Balqis dan Mia, tanpa mengambil tahu sebarang perkara atau isu yang berlaku di luar set penggambaran.
“Saya memang tak tahu dari mana perkara itu tercetus. Rasany, tiada apa-apa yang berlaku di set penggambaran ketika itu dan drama Akulah Balqis bukan puncanya.
“Apabila jadi pengarah, saya hanya duduk di depan monitor. Apa yang saya tahu, mereka masuk set dan sampaikan watak yang sepatutnya. Di belakang tabir, saya memang tidak tahu,” katanya ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Viu berjudul Walid di Saloma Kuala Lumpur di sini, semalam.
Erma mendakwa dia tidak tahu apa yang dikatakan perselisihan membabitkan Puteri Balqis dan Mia dalam media sosial kerana sibuk dengan urusan kerja, sejak akhir-akhir ini.
“Saya lama tiada di Kuala Lumpur dan baru balik, malam tadi. Jadi, saya tidak tahu isu yang berlaku antara mereka,” katanya.
Ditanya pendapatrnya mengenai tindakan pelakon yang memilih meluahkan perasaan dalam media sosial berbanding menyelesaikan isu secara peribadi, Erma berkata, itu adalah situasi biasa pada zaman sekarang.
“Saya tak fikir orang muda sahaja. Orang tua pun buat perkara sama. Dunia sekarang adalah dunia digital. Media sosial macam diari kepada semua orang.
“Siapa nak tulis itu hak masing-masing, berdasarkan pemikiran mereka sendiri. Sama ada mereka fikir perkara itu perlu dikongsi atau tidak, itu keputusan masing-masing.
“Semuanya bergantung kepada prinsip manusia itu sendiri, sama ada hendak kongsi semua perkara tanpa batas atau sebaliknya,” katanya.
Sebelum ini, timbul dakwaan mengatakan persengketaan antara Puteri Balqis dan Mia tercetus sejak penggambaran drama Akulah Balqis, iaitu ketika mereka masih bergelar pelakon kanak-kanak.
Isu itu kemudian berlanjutan apabila Puteri Balqis dilapor menyebut nama Mia dalam hantaran media sosial dan dilapor mendakwa aktres terbabit pernah memburukkan ibunya di hadapan orang ramai.
Bagaimanapun, Mia Sara dilapor tampil membuka mulut dan mengakui kekhilafan masa lalu apabila terlanjur menulis kenyataan yang kedengaran negatif terhadap Puteri Balqis. – BH Online –
IMedikel TV






