Home Buletin Semasa EMPAT WANITA INDONESIA MANGSA EKSPLOITASI, DISELAMATKAN – JIM 

EMPAT WANITA INDONESIA MANGSA EKSPLOITASI, DISELAMATKAN – JIM 

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah berjaya menyelamatkan empat wanita warganegara Indonesia yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa dan pemerdagangan orang menerusi operasi di sini pada Isnin dan Selasa lau.

JIM dalam kenyataan semalam memaklumkan operasi tersebut dilaksanakan hasil aduan awam dan risikan oleh Unit Tindakan Imigresen JIM Negeri Kedah, bagi menumpaskan kegiatan sindiket ejen pembantu rumah asing tidak berdaftar yang dipercayai aktif di kawasan tersebut.

“Dalam serbuan pertama, pasukan operasi berjaya menyelamatkan empat wanita warganegara Indonesia yang dikurung di dalam sebuah premis.

“Siasatan awal mendapati mangsa dieksploitasi untuk bekerja sebagai pembantu rumah, dan hanya dibenarkan keluar bagi tujuan bekerja.

“Mangsa turut dipaksa bekerja melebihi tempoh yang ditetapkan manakala dokumen perjalanan (pasport), telefon bimbit dan barang peribadi mereka dipegang oleh pihak sindiket,”menurut kenyataan itu.

Beliau berkata kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan trauma fizikal dan mental, dengan pergerakan dikawal secara ketat.

“Operasi penyelamatan ini dijalankan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0, bagi tujuan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang.

“Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670],”katanya.

Jelasnya berdasarkan maklumat yang diperoleh hasil serbuan pertama, satu pasukan operasi susulan digerakkan ke lokasi kedua, di mana tiga wanita warganegara Indonesia ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Seterusnya, serbuan di lokasi ketiga menyaksikan penahanan lima wanita warganegara Indonesia di bawah akta yang sama.

“Seorang wanita tempatan yang mengaku sebagai majikan kepada kelima-lima wanita tersebut turut dikeluarkan Borang 29 bagi membantu siasatan,”jelas kenyataan itu.

JIM menegaskan komitmen dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

“Sabit kesalahan di bawah ATIPSOM 2007 boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun dan bagi kesalahan lebih berat, pesalah juga boleh dikenakan hukuman sebat.

“Peruntukan undang-undang yang lebih berat turut dikenakan terhadap ejen atau majikan yang bersubahat,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here