KUALA LUMPUR: Bekas isteri penyanyi Nubhan Ahamad, 36, iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr Fie tidak menolak kemungkinan bergelar selebriti sekiranya tawaran diberikan sesuai dengan penampilannya.
Dr Fie, 35, berkata dia yang juga doktor gigi bersikap terbuka dengan setiap peluang yang datang kerana perlu bangkit mengatur kehidupan semula termasuk mengukuhkan kewangan.
“Kalau ada tawaran (jadi selebriti) kita tengok nanti macam mana? Kalau sesuai dengan saya punya (kerjaya) sebagai seorang doktor gigi dan penampilan (akan dipertimbangkan).
“Apapun, sekarang saya banyak sertai kumpulan usrah dan rasa seronok sebab dapat berkawan dengan orang-orang yang ‘sekapal’ (ibu tunggal) dengan kita, dapat kongsi pengalaman.
“Saya juga nak kukuhkan kewangan sebab selama ini kita fikir masa depan itu semua sudah diuruskan. Jadi, sekarang ini adalah perkara baharu buat saya,” katanya.
Ditanya sama ada dia ada bertemu ibu mentua iaitu Mak Jenny, katanya dia sudah menemui wanita itu sehari sebelum sebutan pertama kes cerai berkenaan pada 14 Oktober lalu.
“Selepas sah bercerai, saya belum lagi berjumpa dengan Mak Jenny, tapi sebelum sebutan pertama kes (cerai), saya ada berjumpa dengannya, Alhamdulillah.
“Cuma, saya fikir ada harapan untuk berjumpa Mak Jenny nanti termasuk Nubhan. Bagi saya tak perlu bermasam muka biar kami kekal sebagai sahabat demi kebajikan anak-anak,” katanya.
Semalam, Mahkamah Rendah Syariah Sepang memutuskan Nubhan dan Dr Fie sah bercerai talak dua. – BH Online –
IMedikel TV






