Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Sengatan haiwan berbisa seperti ular, kala jengking dan serangga berbisa menjadi ancaman kepada kesihatan awam.
Gigitan atau serangan haiwan berkenaan sudah tentu boleh mendatangkan kesan yang serius dan membahayakan nyawa ramai orang.
Individu yang diserang pasti merasakan detik yang sangat mendebarkan apabila rasa sakit yang teruk di kawasan sengatan.
Namun begitu, mereka seharusnya mengawal emosi dan tidak perlu cepat panik, sebaliknya perlu tahu langkah yang perlu diambil ketika itu.
Dalam keadaan kecemasan, jika mereka panik, ia boleh menyebabkan peningkatan kadar degupan jantung dan mempercepatkan penyebaran bisa atau racun dalam badan.
Sebaiknya sebelum dibawa ke klinik atau hospital, individu berkenaan boleh menggunakan pembalut luka atau kain untuk diikat di sekitar kawasan gigitan atau sengatan bagi mengurangkan risiko jangkitan, namun pastikan ia tidak terlalu ketat.
Antara langkah-langkah lain adalah:
- Jauhi haiwan berbisa: Pastikan jarak antara diri dan haiwan berbisa tersebut jauh dan jangan cuba menangkap atau mendekatinya.
- Dapatkan bantuan perubatan dengan segera: Hubungi talian kecemasan atau pergi ke hospital dengan segera.
- Rehat dan jangan bergerak terlalu banyak: Sekiranya disengat ular atau haiwan berbisa, cuba untuk berehat dan pastikan anggota badan yang disengat berada dalam keadaan lebih rendah daripada jantung (contohnya, jika disengat di kaki, duduk atau berbaring dengan kaki lebih rendah).
- Cuci luka dengan air bersih: Sekiranya haiwan tersebut bukan ular berbisa atau serangga yang memerlukan rawatan spesifik, basuh luka dengan air bersih untuk mengurangkan risiko jangkitan.
Setelah membersihkan luka, jangan cuba untuk menghisap bisa di kawasan gigitan, kerana boleh menyebabkan lebih banyak komplikasi.
Oleh sebab itu, orang ramai perlu sentiasa berwaspada terhadap persekitaran dan berhati-hati apabila berhadapan dengan haiwan liar.
Ia bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh kerana boleh membahayakan nyawa secara serta merta.
Dengan pengetahuan dan persediaan yang betul, kita dapat mengurangkan risiko kesan buruk daripada serangan tersebut.
IMedikel TV






