Home Politik DAKWAAN RASUAH PEMANGKU PRESIDEN, TIMBALAN PRESIDEN PBS HANYA AGENDA POLITIK MELEMAHKAN PARTI...

DAKWAAN RASUAH PEMANGKU PRESIDEN, TIMBALAN PRESIDEN PBS HANYA AGENDA POLITIK MELEMAHKAN PARTI – JONISTON

KIULU: Dakwaan rasuah baru-baru ini menerusi video tular membabitkan Pemangku Presiden dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) hanya digunakan pihak tertentu bagi menimbulkan gangguan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata demikian bagi menjelaskan isu berkenaan dan menyeru ahli parti itu agar kekal fokus dan tidak terpengaruh dengan dakwaan bermotif politik yang menyasarkan kepimpinan parti.

Katanya, pemimpin dan ahli akar umbi harus kekal bersatu serta komited ketika Sabah menuju ke PRN pada 29 November ini.

“Rakan seperjuangan (Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Seri Jahid Jahim) kita telah memberikan penjelasan mereka mengenai perkara itu, dan saya percaya pemimpin kita di semua peringkat serta ahli dan penyokong kekal berjuang bersama.

“Kami menganggap ini (dakwaan rasuah) agenda bermotifkan politik bertujuan melemahkan parti dan kita tidak boleh terganggu,” katanya berucap pada Sesi Bertemu Rakyat di Kampung Bambangan Lama di sini, semalam.

Menurut Joniston, yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, PBS kekal berpandukan nilai akauntabiliti, kejujuran, dan ketelusan dalam perjalanan politiknya.

“Walaupun pihak tertentu cuba menjadikan isu ini sebagai ‘peluru’ politik, PBS akan terus memberi tumpuan kepada perkara penting, iaitu berkhidmat kepada rakyat dan mendapatkan kepercayaan mereka,” katanya.

Joniston menambah, PBS memandang serius kepercayaan rakyat, percaya bahawa keyakinan diperoleh melalui tindakan dan parti akan terus komited untuk membuktikan melalui integriti, perkhidmatan dan akauntabiliti.

PBS, katanya akan terus memperjuangkan kebajikan rakyat selain memastikan pembangunan dan peluang tercapai ke setiap bahagian di Sabah menerusi pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kami percaya rakyat akan menilai GRS berdasarkan rekod prestasi yang sudah terbukti, bukan berdasarkan perkara tidak benar yang disebarkan oleh pihak lawan.

“Fakta dan angka tidak berbohong… di bawah GRS, Sabah mencatatkan hasil tertinggi, bukti jelas pengurusan yang bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, sejak dua hari lalu, tular dua video perbualan masing-masing dipercayai Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Jahid Jahim, bersama seorang lagi individu yang mendakwa memberi sejumlah wang berkait lesen cari gali. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here