Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TUMPAT: Tindakan segelintir mangsa banjir mendakwa penghulu menyorok bekalan makanan bencana itu adalah sama sekali tidak benar, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Muhamed Fadzli Hassan.
Beliau berkata, pihak yang bertanggungjawab akan pengurusan tersebut sudah berlaku adil demi memastikan bekalan itu sampai kepada mereka (mangsa banjir) yang memerlukan.
“Tidak ada dakwaan itu sebagaimana contoh ada 600 keluarga, lepas itu bekalan barang yang sampai hanya ada 200 jadi kalau kita nak bahagikan 200 itu hanya 200 keluarga sahaja yang menerimanya, jadi yang lain macam mana?.
“Untuk berlaku adil kepada semua, kita terpaksa pecah-pecahkan supaya semua orang boleh terima walaupun dalam kuantiti yang sedikit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Penerimaan dan Pengagihan Bantuan daripada Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa (IFE Foundation), di Majid Ismaili Pasir Pekan, Tumpat, di sini, pada Selasa.
Katanya, semua barangan sumbangan itu terpaksa dibuat pembungkusan semula supaya mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terbabit boleh menerimanya.
“Kita membantu bukan menyediakan semua kelengkapan jadi sekiranya ada yang tidak dapat, mungkin ada yang lebih memerlukan daripada dia,” katanya.
“Ini adalah sebahagian penjelasan terhadap kesalahfahaman yang berlaku.
“Inshaallah di pihak kerajaan, PPS dan pemimpin akan cuba melakukan seadil mungkin tapi sebagai manusia, kita juga ada kelemahan dan yang itu kita memohon maaf,” katanya.
IMedikel TV






