Home Hiburan DAI FUAD TERUJA JAYAKAN PROJEK PREKUEL FRANCAIS HIGH COUNCIL

DAI FUAD TERUJA JAYAKAN PROJEK PREKUEL FRANCAIS HIGH COUNCIL

KUALA LUMPUR: Pernah gagal dalam uji bakat drama bersiri Kahar: Kapla High Council tidak mematahkan semangat pelakon, Dai Fuad.

Memetik laporan Berita Harian, sebaliknya, insiden itu mendorongnya terus berusaha menghadiri uji bakat lain sehingga rezekinya terbuka untuk membintangi projek Kudrat 1968.

Dai Fuad, 34, yang mencipta nama menerusi watak Nahar dalam drama Good Boys Go To Heaven bersyukur apabila akhirnya diberi peluang menyertai francais yang lahir daripada kejayaan Projek: High Council.

“Kahar: Kapla High Council juga salah satu sekuel yang agak besar selepas Projek: High Council. Ada tiga atau empat peringkat uji bakat dan saya berjaya sehingga peringkat keempat termasuk sesi secara langsung.

“Saya disenarai pendek dalam kelompok lima terbaik. Ketika itu, saya jalani uji bakat untuk watak Beja, tetapi tidak berjaya. 

“Bagaimanapun, saya puji kebolehan Aedy Ashraf membawakan watak itu dengan baik. Saya percaya rezeki saya bukan di situ,” katanya ditemui pada majlis memperkenalkan pelakon utama Kudrat 1968 di sini, baru-baru ini 

Dai Fuad tidak menafikan kecewa apabila tidak terpilih meskipun sudah disenarai pendek, namun, berbangga kerana berjaya bertahan sehingga peringkat akhir proses pemilihan.

“Saya sudah sampai ke penghujung, tinggal sedikit sahaja lagi untuk berada dalam francais itu.

“Pada awalnya, kita cuba sebab tahu Projek: High Council adalah naskhah yang sangat berkualiti dan bagus.

“Jadi, sebagai pelakon muda ketika itu, saya cuba mendapatkan karakter yang ditulis dengan hebat.

“Kali pertama saya menonton Projek: High Council, pada episod pertama lagi terdetik dalam hati, hendak bekerja dalam produksi ini.

“Alhamdulillah, saya dapat peluang itu menerusi Kudrat 1968,” katanya.

Dai Fuad amat menghargai peluang diberi produksi Kudrat 1968 kerana menyedari ramai pelakon mengimpikan platform itu, namun, rezeki akhirnya berpihak kepadanya.

Justeru, biarpun berdepan cabaran menjayakan Kudrat 1968, dia berusaha memberikan yang terbaik supaya penonton tidak kecewa.

“Ramai yang menunggu siri ini dan majoriti penonton sudah mengikuti Projek: High Council dan Kahar: Kapla High Council.

“Dalam industri hiburan sekarang, kita bukan lagi bersaing sesama tempatan, sebaliknya turut berdepan persaingan dengan drama antarabangsa.

“Jadi, kita tidak boleh berada di takuk lama dan saya percaya Kudrat 1968 mampu mencapai tahap itu,” katanya.

Kudrat 1968 ialah prekuel yang membawa penonton kembali ke titik permulaan tercetusnya sistem hierarki rahsia yang diwujudkan pelajar sendiri, sekali gus menjadi nadi simbolik kepada francais High Council.

Terdahulu, pelakon utama Kudrat 1968, iaitu Mierul Aiman diumumkan menerusi akaun media sosial Astro Shaw.

Lima lagi tunggak utama yang diperkenalkan adalah Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here