DUBAI: Amerika Syarikat (AS) dan kumpulan Houthi yang disokong Iran melaporkan serangan berasingan terhadap kapal di perairan sekitar rantau itu semalam, sekali gus menyukarkan lagi usaha menamatkan perang Iran.
Agensi berita Saba yang dikendalikan Houthi melaporkan kumpulan itu menyerang sebuah kapal Arab Saudi yang membawa peralatan ketenteraan di Selat Bab el-Mandeb.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Houthi pada 20 Julai lalu berkata mereka akan mengenakan sekatan laut terhadap Arab Saudi di Laut Merah.
Arab Saudi belum mengesahkan serangan itu. Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan Yaman berkata empat kru terbunuh selepas sebuah kapal kargo kecil disyaki diserang Houthi di Selat Bab el-Mandeb semalam.
Kapal berkenaan, Tihamah milik Mesir, menjadi kapal pertama yang dilaporkan mempunyai korban jiwa akibat serangan Houthi sejak perang Iran bermula.
Sementara itu, tentera AS berkata sebuah helikopter MH-60 Tentera Laut AS melepaskan dua peluru berpandu Hellfire bagi melumpuhkan sistem kemudi sebuah kapal kargo berbendera Panama.
Kapal itu diserang selepas mengabaikan beberapa amaran supaya berhenti kerana didakwa melanggar sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.
Sumber maritim memberitahu Reuters, kapal berkenaan diserang di luar pantai Pakistan ketika belayar memasuki Teluk Oman.
Sepanjang konflik, Trump beberapa kali mengancam untuk meningkatkan tekanan terhadap Iran, namun pada masa sama mendakwa perjanjian damai hampir dicapai.
Dalam wawancara yang disiarkan lewat Isnin, Trump berkata keadaan tidak menentu itu mungkin berlarutan.
“Saya seakan-akan sedang berunding. Mereka perunding yang sangat licik,” katanya kepada Real America’s Voice.
Sementara itu, Rezaei, yang dilantik pada Ahad sebagai timbalan ketua badan yang menyelaras dasar keselamatan dan luar negara Iran, berkata Selat Hormuz tidak akan dibuka selagi AS tidak mengubah pendiriannya.
Sebelum perang, laluan perairan itu mengendalikan 20 peratus atu perlima daripada aliran minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia.
“Selagi Amerika tidak mengubah tingkah lakunya dan tidak menerima syarat Iran, Selat Hormuz tidak akan dibuka,” kata Rezaei, menurut agensi berita separa rasmi Tasnim.
Washington belum memberikan ulasan terhadap kenyataan terbaharu Iran itu.
Iran berkata Selat Hormuz akan terus ditutup selagi AS tidak menerima syarat yang ditetapkan Tehran.
Perkembangan itu menyebabkan harga minyak meningkat manakala pasaran saham global merosot berikutan kebimbangan konflik berkenaan tidak akan berakhir dalam masa terdekat.
Harga minyak mentah Brent meningkat 1.4 peratus kepada AS$88.91 (RM334.11) setong, manakala minyak mentah AS naik 1.3 peratus kepada AS$83.20 (RM310.79).
Dalam perkembangan lain, penasihat kepada Panglima Pengawal Revolusi Iran, Mohammad Reza Naqdi, berkata Iran sedang meningkatkan keupayaan untuk menjalankan operasi di wilayah musuh.
“Kita perlu berupaya memindahkan operasi ke wilayah musuh apabila diperlukan dan diarahkan. Ini adalah ciri doktrin ofensif yang perlu dicapai,” katanya. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






