Home Luar Negara FERI DI ZIMBABWE KARAM, 95 PENUMPANG DIKHUATIRI MAUT

FERI DI ZIMBABWE KARAM, 95 PENUMPANG DIKHUATIRI MAUT

HARARE: Beberapa orang dikhuatiri maut selepas sebuah feri membawa 95 penumpang karam di Tasik Kariba, Zimbabwe, semalam, menurut polis dan saksi.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, bot yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan antara bandar Kariba di utara dengan beberapa pulau serta kem memancing itu terbalik selepas dilanda ombak kuat.

Tasik Kariba terletak di sempadan Zimbabwe dengan Zambia, lebih 300 kilometer (km) di timur laut ibu negara, Harare.

Ia adalah tasik buatan manusia terbesar di dunia dari segi isipadu air.

“Feri itu yang membawa 90 penumpang dan lima anak kapal karam di Tasik Kariba,” kata polis. 

Seorang saksi memberitahu AFP, bot berkenaan bertolak seperti biasa pada waktu pagi ketika cuaca buruk dan kemungkinan dihentam ombak menyebabkan enjinnya terhenti. 

“Ketika kami berada di perairan, anda boleh melihat isyarat kecemasan dan bot yang berada berhampiran kemudian datang membantu,” kata Maxton Kanhema.

Kanhema berkata, Taman Negara Matusado menyediakan sebuah helikopter bagi membantu operasi menyelamat, selain bot lebih besar serta penyelam dari kawasan berhampiran dan anggota tentera.

“Orang ramai berada dalam keadaan cemas… terdapat mayat di dalam air dan ia satu keadaan yang menyedihkan untuk disaksikan. Mereka yang bernasib baik berjaya diselamatkan,” katanya.

“Bagaimanapun, disebabkan cuaca buruk, tindak balas agak lewat. Untuk sampai ke bot itu mengambil masa dan malangnya beberapa nyawa terkorban,” katanya.

Kanhema berkata, hampir 60 orang dilaporkan berjaya diselamatkan, manakala mayat mangsa dijangka dibawa ke Kariba untuk proses pengecaman.

Polis berkata, maklumat lanjut akan dikeluarkan pada waktu bersesuaian. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here