JEDDAH, Arab Saudi: Julian Alvarez menyumbat gol paling pantas pernah dijaringkan pada final Piala Dunia Kelab sekali gus membantu Manchester City membenam kelab Brazil, Fluminense 4-0 awal pagi tadi untuk melengkapkan tahun penuh gemilang dengan meraih trofi kelima mereka pada 2023.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Pasukan kendalian Pep Guardiola, yang terlepas khidmat penyerang Erling Haaland kerana cedera pada kejohanan dunia itu, sudah memenangi Piala FA, Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara dan Piala Super UEFA tahun ini.
“Untuk menang lima trofi ini – bagi saya, lima piala terbesar yang boleh kami rangkul – adalah luar biasa,” kata kapten Kyle Walker.
“Saya bangga untuk menjadi sebahagian daripada skuad ini dan sejujurnya ia satu penghormatan untuk bermain di samping pemain ini, saya tidak boleh tuntut lebih lagi daripada mereka.
“Ia terlalu sukar untuk menang secara konsisten, jadi untuk berdiri di sini hari ini dengan memenangi lima kejuaraan benar-benar istimewa dan satu pencapaian besar.”

Alvarez melengkapkan aksi dengan gol kedua peribadi pada minit ke-88 dengan rembatan dari luar kotak penalti.
Kemenangan itu menjadikan Guardiola pengurus pertama mengemudi tiga kelab berbeza memenangi Piala Dunia Kelab, menang bersama Barcelona pada tahun 2009 dan 2011 kemudian Bayern Munich pada 2013.
“Kami berdepan City yang menjadi pasukan terbaik di dunia dalam lima tahun terakhir dan mereka tahu bagaimana untuk menggunakan sepenuhnya peluang yang mereka cipta,” kata pengurus Fluminense, Fernando Diniz kepada TV Globo.
“Mereka sering kali efektif, menjaringkan gol awal dan mereka menghukum kesilapan kami. Kami perlu bangga dengan tahun menakjubkan yang membawa kami ke sini. Ia satu perjalanan mengagumkan dan tiada apa yang perlu dimalukan.”
Rodri dianugerah Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan manakala kapten City, Kyle Walker meraih Bola Perak. – REUTERS-BH ONLINE-
Imedikel TV






