KOTA BHARU: Siapa sangka hanya dengan masalah cirit-birit yang dialami sejak usia 13 bulan boleh menyebabkan, Afiq Aiman Muhamad yang kini berusia 22 tahun menghidap penyakit Cerebral Palsy (CP) dan memberi kesan kegagalan jangka panjang terhadap fungsi otot.
Bapanya, Muhamad Abdullah, 68 berkata, anaknya mula mengalami cirit-birit sejak usia kecil kemudian mengakibatkan hidrasi kerana kehilangan air yang banyak dalam badan.
“Pada usia itu, anak saya mengalami koma selama lima hari dan setelah sedar didapati seluruh tubuhnya mengalami kekejangan sehingga disahkan menghidap penyakit Cerebral Palsy (CA).
“Saya sangkakan cirit birit hanyalah masalah biasa yang hanya memerlukan rawatan dengan ubat, namun saya silap kerana ia sebenarnya boleh membawa kepada kegagalan fungsi otot sehingga umurnya 22 tahun pada hari ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Chenok Batu 8, Kadok, di sini, baru-baru ini.
Muhammad berkata, anaknya turut mengalami masalah tulang belakang bengkok atau dikenali sebagai scoliosis yang menyebabkan tubuhnya berbentuk ‘s’ atau ‘c’.
Jelasnya, dia sempat membawa anaknya menjalani rawatan fisioterapi beberapa kali namun malangnya tidak memberi apa-apa perubahan kepada anaknya.
“Saya dapat lihat sekarang ini apabila umurnya semakin meningkat, dia dapat memberi respon yang positif dan kelihatan rauk wajahnya gembira sekiranya dia dapat mendengar suara kanak-kanak dan suara yang biasa didengari berada di sekelilingnya,” katanya.
Katanya, makanan harian Afiq hanyalah nestum dan susu jenama Dugro sahaja, akan tetapi sekiranya dia mengalami hidrasi yang kuat, tubuhnya akan mengalami perubahan yang agak ketara.
“Mengikut kata doktor, sekiranya dia kekurangan air dalam badan, kukunya akan menjadi kering dan kelihatan gelap di bawah matanya,” katanya.
Tambahnya, dia turut kehilangan isterinya sejak 2010 dan terpaksa menjaga dua orang anaknya termasuk Afifah Thohirah, 15, yang kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lil-Banat.