KUALA TERENGGANU: Pemain Terengganu FC (TFC), Careca berikrar untuk memperagakan aksi terbaiknya dalam misi memburu kemenangan pada aksi pertama Liga Super berdepan Penang FC di Stadium Bandaraya, malam esok.
Memetik laporan Harian Metro, bagaimanapun ‘arkitek’ skuad Penyu itu sedar saingan Liga Malaysia (Liga M) semakin mencabar berbanding kali terakhir dia beraksi dalam saingan Liga M pada 2021 ketika menyarung jersi Perak.
“Sejujurnya saya bagaikan tidak sabar untuk membuat penampilan pertama bersama TFC terutama selepas hampir empat tahun meninggalkan Liga M.
“Pertemuan dengan Penang FC nanti, saya berjanji akan memberikan aksi terbaik dalam misi untuk memburu tiga mata pertama walaupun sedar bermain di tempat lawan.
“Peningkatan prestasi dari semasa ke semasa selain persefahaman dan keserasian antara kami bakal menjadi pembakar semangat untuk memulakan cabaran dengan langkah kanan,” ujar Careca atau nama sebenarnya, Raianderson da Costa ketika ditemui pada sesi latihan, semalam.
Ketika ditanya apa yang perlu dilakukan pasukannya bagi memastikan misi itu menjadi kenyataan, bekas pemain kelab Korea Selatan, Gangneung City itu akui jaringan awal penting untuk menaikkan semangat pemain sepanjang aksi 90 minit perlawanan.
“Selain itu kami juga perlu kerap melakukan gerakan untuk memburu jaringan dan pada masa sama perlu bijak bertahan sekali gus mengelak dijerat.
“Kami juga perlu beraksi mengikut strategi yang dirancang jurulatih serta tidak cepat putus asa sekiranya ketinggalan kerana kebiasaannya aksi pertama adalah sukar untuk diramal,” ujarnya.
Berdasarkan prestasi semasa, kemungkinan ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali bakal menggandingkan pemain kelahiran Brazil itu bersama Nurillo Tukhtasinov manakala rakan senegaranya, Gabriel Silva bakal beraksi di posisi sayap.
Penyerang kelahiran Perancis, Yann Mabella hampir pasti mengetahui jentera serangan manakala pertahanan import tinggi lampai, Diego Landis bakal bergandingan dengan Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni di bek tengah.
Persaingan posisi penjaga gol utama antara Suhaimi Husin, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin dan Rahadiazli Rahalim dijangka menarik kerana tiga pemain kebangsaan itu mempunyai kualitinya yang tersendiri. – HMetro Online –
IMedikel TV






