Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR MAS: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memohon Kementerian Pendidikan agar membuat pertimbangan untuk menangguhkan peperiksaan tersebut berikutan kebanyakan mereka terjejas akibat banjir di Rantau Panjang, di sini.
Bencana berkenaan pada kali ini disifatkan terburuk melanda Rantau Panjang kerana menyebabkan calon SPM berdepan situasi getir apabila pakaian dan peralatan sekolah serta kelengkapan peperiksaan ditenggelami dan dihanyutkan arus deras banjir.

Menurut calon SPM, Nur Intan Lidiana Mahkrulsulam, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, sejak beberapa hari lepas dia terpaksa mengulang kaji pelajaran bertemankan cahaya lilin kerana rumah terputus bekalan elektrik.
“Saya telah membuat persiapan untuk SPM namun banjir di luar jangka berlaku di kawasan rumah saya menyebabkan segala persiapan dan kelengkapan sekolah untuk menduduki SPM musnah dan hanyut dalam sekelip mata.
“Saya hanya sempat menyelamatkan diri bersama keluarga dengan berlari ke tingkat atas melihat arus deras di tingkat bawah dan hanya mampu termenung melihat segala barang rumah dan kelengkapan persekolahan hanyut begitu sahaja,” katanya kepada pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, di sini, semalam.

Nur Intan Lidiana berkata dia hanya dimaklumkan semalam untuk ke sekolah lain bagi menduduki SPM.
Menurutnya, jika pelajar sekolah tetap meneruskan untuk menduduki SPM pada esok, dia hanya mampu bertawakal.
Sementara itu, rakannya, Wirod Wet Chuen, 17, turut memaklumkan terpaksa belajar menggunakan lilin sejak beberapa hari lepas apabila rumahnya dilanda banjir.

“Beberapa hari lalu saya hanya mampu mengulangkaji pelajaran di atas katil dengan tiada bekalan elektrik disertai air menaiki rumah.
“Saya berharap agar ada ihsan daripada pihak Kementerian Pendidikan untuk menangguhkan SPM dan beri kami masa,” katanya.
Kedua-dua mereka adalah antara 189 pelajar SMK Rantau Panjang yang terjejas banjir yang dipindahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menaiki trak untuk menduduki peperiksaan SPM di SMK Pasir Mas, SMK Sultan Ibrahim 1 dan 2.
IMedikel TV






