Home Buletin Semasa UNIT KHAS PDRM BANTERAS AKTIVITI PORNOGRAFI KANAK-KANAK

UNIT KHAS PDRM BANTERAS AKTIVITI PORNOGRAFI KANAK-KANAK

506
0

Unit khas membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak di bawah Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah akan bekerjasama erat dengan pelbagai agensi berkaitan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalu-alukan penubuhan unit itu yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023.

“Unit khas berkenaan akan memberikan impak positif terhadap usaha kerajaan dalam membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, PDRM turut menghargai peruntukan RM10 juta seperti yang diumumkan sebagai geran pengoperasian bagi mengukuhkan peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) mengekang jenayah penipuan dalam talian atau scam.

“Selain pengumuman kerajaan bagi penjawat awam dalam Belanjawan 2023, PDRM turut menghargai usaha kerajaan dalam menyalurkan peruntukan yang akan dinikmati secara langsung oleh warga PDRM,” katanya.

Acryl Sani berkata, peruntukan itu termasuk RM18.5 bilion yang diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi terus memperkukuhkan ketenteraman awam dan menjamin keamanan serta keselamatan negara.

Katanya, hampir RM1 bilion untuk agensi agensi di bawah KDN bagi memperkasakan keselamatan dalam negeri antaranya untuk memperoleh lebih 2,100 unit kamera badan, selain pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan kuaters polis baharu dengan kos RM450 juta.

“Penambahan 42 pos kawalan sempadan Pasukan Gerakan Am (PGA), imigresen, Esscom dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) adalah bagi memperketat kawalan sempadan negara.

“Sementara RM500 juta untuk menyelenggara rumah keluarga angkatan tentera dan membaik pulih kuaters kediaman dan institusi di bawah KDN,” katanya.

Beliau memberi jaminan semua peruntukan diumumkan kerajaan melalui Belanjawan 2023 akan dimanfaatkan sepenuhnya.

Sumber: BH Online

— Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here