Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Ramai individu memilih pemakaian pendakap gigi atau braces bagi memperbetulkan kedudukan gigi yang tidak teratur, selain meningkatkan keyakinan diri mereka.
Namun, proses ini memerlukan kesabaran, disiplin dan penjagaan rapi agar hasilnya bukan sahaja memuaskan, tetapi juga selamat untuk kesihatan mulut.
Pakar Pergigian Ortodontik, Unit Ortodontik Klinik Pergigian Kuala Krai, Dr Noor Hidayah Awang Kechik berkata, pendakap gigi terbahagi kepada dua jenis iaitu pendakap gigi boleh tanggal atau removable appliance dan pendakap gigi tetap atau fixed appliance.

“Pendakap gigi boleh tanggal kebiasaanya dipakai untuk kanak-kanak yang mengalami masalah gigitan silang. Gigi tersebut akan dibetulkan dengan meletakkan komponen di belakang gigi berkenaan dan akan berfungsi menolak gigi ke hadapan.
“Bagi pendakap gigi tetap pula, ia melekat pada gigi dan berfungsi memperbetulkan masalah gigitan (maloklusi) pesakit dengan lebih efektif kerana ia boleh mengaplikasikan pelbagai teknik pergerakan gigi dari memutar, menarik, hingga menolak dan menjadikannya rawatan yang lebih menyeluruh dan fleksibel,” katanya.
Dr Noor Hidayah berkata, pendakap gigi boleh tanggal digunakan sebagai rawatan awal atau rawatan interseptif ortodontik bagi kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun yang mengalami masalah seperti gigitan silang.
Rawatan itu bertujuan membetulkan maloklusi, iaitu ketidaksejajaran gigi sebelum masalah menjadi lebih serius.

“Alat ini dilengkapi komponen aktif yang diletakkan di belakang gigi dan berfungsi menolak gigi ke hadapan. Ianya mudah digunakan dan berkesan dalam tempoh satu hingga tiga bulan. Kelebihan alat ini ialah pesakit boleh menanggalkan alat tersebut untuk tujuan pembersihan,” katanya.
Manakala, rawatan pendakap gigi tetap pula boleh dipakai untuk kanak-kanak, remaja, dan dewasa.
Namun, bagi kanak-kanak ia bergantung kepada keadaan gigi dan hanya dipakai beberapa bulan sebagai salah satu cara dalam rawatan interseptif ortodontik. Sementara bagi pesakit dewasa pula, rawatan yang diberikan mengambil masa antara dua hingga tiga tahun.
Menurut beliau, antara masalah yang memerlukan rawatan mengunakan pendakap gigi tetap termasuklah kesesakan gigi yang teruk (crowding), gigitan silang, rekahan lelangit, serta bilangan gigi yang berlebihan atau berkurangan.
“Biasanya, sebelum pesakit datang ke klinik pakar, pesakit hendaklah membuat pemeriksaan di klinik pergigian kerajaan yang terdekat terlebih dahulu bagi memastikan kebersihan gigi berada di tahap yang bagus.

“Semua masalah seperti gigi berlubang dan kesihatan mulut yang tidak memuaskan perlu dirawat terlebih dahulu. Hal ini kerana unit ortodontik adalah cabang pergigian yang melibatkan estetik, jadi kita menginginkan tahap kesihatan gigi yang bagus sebelum kita memperbaiki susunan gigi pesakit menjadi lebih cantik,” katanya
Selain itu katanya, pendakap gigi tetap terdiri daripada beberapa komponen utama seperti bracket yang dilekatkan pada setiap gigi, archwire yang menghubungkan bracket untuk menggerakkan gigi, dan ligature atau getah kecil yang memegang wayar pada tempatnya.
Molar band dan buccal tube pula dilekatkan pada gigi geraham bagi memberi sokongan.
Selain itu, antara eksesori lain yang turut digunakan ialah getah elastik dan hook bagi membantu pelarasan kedudukan gigi sepanjang rawatan.

“Pendakap gigi tetap dipasang dengan melekatkan bracket menggunakan gam khas dan dikeraskan menggunakan curing unit bagi memastikan ia kekal kukuh sepanjang rawatan.
“Bracket tidak akan ditanggalkan, hanya wayar dan getah elastik atau o-ring yang akan ditukar secara berkala. O-ring ini bersifat elastik dan akan longgar dari masa ke masa, jadi ia perlu diganti setiap kali rawatan susulan,” katanya.
Jelasnya, penjagaan kebersihan mulut sangat ditekankan sebelum pemasangan pendakap gigi kerana proses pembersihan gigi akan menjadi lebih rumit selepas pemakaian pendakap gigi.
Katanya, pesakit perlu menggunakan berus biasa dan interdental brush ketika membersihkan gigi, malah lebih bagus jika menggunakan super floss sekali dalam sehari.

“Kebersihan gigi perlu ditekankan sepanjang rawatan braces bagi mengelakkan kerosakan gigi seperti gigi goyang, berlubang dan penghasilan kalkulus yang mendatangkan bau pada mulut. Jika berlaku sebegini kita akan berhenti sekejap bagi rawatan braces tetapi braces itu tidak dibuka, hanya perlu dirujuk kepada unit tertentu seperti Unit Pakar Periodontik bagi masalah gusi atau Unit Pakar Restoratif untuk gigi berlubang yang memerlukan rawatan yang lebih kompleks,” katanya.
Menurutnya, pesakit yang baru memakai pendakap gigi dinasihatkan agar tidak mengambil makanan keras (hard foods) bagi mengurangkan ketidakselesaan, sebaliknya disarankan untuk mengambil soft diet pada peringkat awal rawatan.
Tambahnya, pada peringkat awal pesakit juga tidak digalakkan menggigit makanan menggunakan gigi hadapan kerana boleh menyebabkan braces tercabut.
Jelasnya lagi, selepas braces ditanggalkan, pesakit perlu memakai retainer untuk memastikan gigi kekal di posisi baharu dan tidak bergerak kembali ke tempat asal (relapse).
IMedikel TV






