Home Luar Negara BOT KARAM: 2 LAGI MANGSA SELAMAT DITEMUKAN DI PULAU

BOT KARAM: 2 LAGI MANGSA SELAMAT DITEMUKAN DI PULAU

JAKARTA: Dua lagi mangsa yang terselamat dalam kejadian bot penumpang karam di timur Indonesia, minggu lalu, ditemukan di sebuah pulau tidak berpenghuni pada semalam, sehari selepas lima mangsa lain diselamatkan ketika mereka terapung di laut, lapor AFP.

Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro, difahamkan, bot yang membawa 78 penumpang itu karam ketika belayar berhampiran Pulau Selayar, sebuah pulau kecil di selatan Pulau Sulawesi, pada 15 Julai lalu.

Menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (BASARNAS), ini menjadikan 59 penumpang selamat setakat ini, seorang meninggal dunia, manakala 18 lagi masih hilang.

Menurut AFP, pasukan penyelamat menemukan dua mangsa selamat itu iaitu seorang lelaki dan seorang wanita. Kedua-duanya berjaya sampai ke sebuah pulau kecil dengan berpaut pada alat apungan buatan sendiri.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa memaklumkan empat lagi individu yang bersama mereka tidak berjaya menyelamatkan diri. 

“Sebahagian daripada mereka menjadi lemah dan tidak lagi mampu berpaut pada rakit itu sebelum akhirnya dihanyutkan arus. Kami berharap masih dapat menemukan rakan-rakan mereka,” kata pegawai mencari dan menyelamat tempatan, Muhammad Arif Anwar. 

Lima lagi mangsa, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, diselamatkan sehari sebelumnya iaitu pada 18 Julai lalu, selepas terapung di laut selama tiga hari.

Dalam pada itu, Muhammad Arif berkata, mangsa menyelamatkan diri menggunakan apa sahaja peralatan atau alat apungan buatan sendiri yang dapat ditemukan termasuk mengikat jerigen (jerry can) dan kepingan gabus menggunakan tali sebelum memanjat ke atasnya.

Katanya, kumpulan itu diselamatkan nelayan tempatan yang kemudian menghubungi pihak berkuasa melalui radio untuk mendapatkan bantuan.

Menurutnya, lima kapal besar, sebuah pesawat peninjau dan sebuah helikopter kini digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat 18 individu yang masih dipercayai hilang.

Menurut media sama, mangsa yang keletihan dan lemah selepas terapung selama beberapa hari tanpa bekalan makanan dan air yang mencukupi hanya bergantung kepada mi segera dan biskut untuk hidup.

Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan, kira-kira 50 mangsa berjaya diselamatkan pada 16 Julai. Semakan lanjut mendapati terdapat 78 orang berada di atas bot itu walaupun senarai rasmi penumpang hanya merekodkan 50 penumpang.

Di Indonesia, bilangan sebenar penumpang di atas bot lazimnya berbeza daripada jumlah dalam senarai rasmi penumpang, manakala kemalangan seperti itu sering berlaku disebabkan piawaian keselamatan yang longgar serta keadaan cuaca buruk. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here