Oleh: Wartawan IMedikel TV
PASIR GUDANG: Pasaran emas dilihat kekal stabil dan tidak terjejas, meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik akibat peperangan di Asia Barat yang mencetuskan krisis rantaian bekalan global.
Pemain industri yang juga Pengasas Kedai Emas Sri Semantan, Mohamad Hafizal Mahmood berkata, prestasi jualan syarikat sentiasa dipantau menerusi petunjuk prestasi utama (KPI) harian dan setakat ini semua cawangan mencatatkan prestasi yang memberangsangkan.
Katanya melihat konflik geopolitik yang melanda dunia ketika ini sama sekali tidak memberi kesan secara langsung terhadap jualan dan pembelian emas di pasaran ketika ini.

“Setakat ini alhamdulillah, kami tidak melihat sebarang kesan daripada faktor geopolitik. Penjualan dan pembelian emas berjalan seperti biasa.
“Malah terdapat beberapa cawangan yang berjaya melepasi sasaran KPI harian yang telah ditetapkan,” katanya ketika mengulas mengenai kesan ketidaktentuan geopolitik global terhadap pasaran emas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada perasmian cawangan ke 20 Kedai Emas Sri Semantan di Pasir Gudang, di sini malam tadi.
Mohamad Hafizal berkata, permintaan yang berterusan terhadap komoditi asli itu turut mendorong syarikat untuk memperluaskan rangkaian perniagaan dengan membuka lebih banyak cawangan baharu.
“Permintaan sangat memuaskan. Sebab itu kami merasakan sudah tiba masanya untuk terus berkembang dengan membuka cawangan baharu bagi memudahkan pelanggan serta meningkatkan lagi jualan emas.
“Setakat ini, Sri Semantan tidak mengalami sebarang kesan negatif. Malah, prestasi perniagaan menunjukkan perkembangan yang semakin baik dari semasa ke semasa,” katanya.
Tambah beliau, syarikat itu juga pernah membuka cawangan baharu ketika konflik peperangan sedang berlaku di beberapa negara.
“Alhamdulillah, pembukaan cawangan pada waktu itu berjaya dan sehingga kini prestasi perniagaan terus menunjukkan peningkatan,” katanya.
Terdahulu, memetik laporan Berita Harian memaklumkan harga emas diunjur lebih rendah tahun ini dengan jangkaan bergerak dalam lingkungan RM450 hingga RM520 segram sebelum kembali meningkat tahun depan.
Pengurus Besar Go Capital Growth Sdn Bhd, Hong Kok Wah, dilaporkan berkata pergerakan harga emas global dijangka dipengaruhi tekanan inflasi serta kemungkinan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang boleh menjejaskan permintaan terhadap logam berharga itu.
“Harga emas global juga berada dalam julat unjuran sekitar AS$3,800 seauns atau RM498.59 segram hingga AS$4,200 seauns atau RM551.07 segram menjelang hujung tahun ini sebelum berpotensi mencatat pemulihan pada tahun berikutnya.
“Trend harga emas yang kami jangkakan ialah ia akan bergerak rendah terlebih dahulu sebelum meningkat semula tahun hadapan. Sekiranya inflasi terus memberi tekanan, pihak AS dijangka menaikkan kadar faedah dan apabila kadar faedah meningkat, harga emas cenderung kekal pada paras rendah untuk tempoh tertentu,” katanya.
IMedikel TV






