TOKYO: Bandar Utsunomiya di Jepun menggantung sesi persekolahan di kesemua 94 sekolah rendah dan menengah di bawah pentadbirannya pada Isnin, selepas kes pertama kemunculan seekor beruang di kawasan itu, menurut seorang pegawai perbandaran.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, pihak berkuasa bandar yang mempunyai kira-kira setengah juta penduduk dan terletak kira-kira 100 kilometer ke utara Tokyo itu berkata, beruang berkenaan pertama kali dilihat di kawasan perumahan berhampiran sebuah taman pada petang Sabtu.
Haiwan itu dilaporkan masih bebas selepas kali terakhir dilihat pada awal pagi Isnin, kira-kira 500 meter dari sebuah sekolah menengah.
Kes serangan beruang termasuk di kawasan bandar semakin meningkat di Jepun, sekali gus mendorong kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas pada 2026 bagi mengurangkan risiko kemalangan jiwa.
Minggu lalu, satu serangan beruang di bandar Fukushima di timur laut negara itu menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang cedera.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kilang keluli Fukushima Steel Works menunjukkan seekor beruang hitam mengejar seorang pekerja berhampiran pintu masuk kilang sebelum menjatuhkannya ke tanah.
Beruang hitam Asia disenaraikan secara global sebagai spesies terancam, namun populasi haiwan itu dianggarkan meningkat tiga kali ganda di Jepun sejak 2012 susulan penurunan aktiviti pemburuan.
Pakar berpendapat perubahan iklim mengurangkan sumber makanan semula jadi beruang, manakala penyusutan populasi di kawasan luar bandar serta peninggalan tanah pertanian mendorong haiwan itu mencari makanan berhampiran penempatan manusia. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






