Home Buletin Semasa KEBAKARAN 27 RUMAH DI KAMPUNG CINA: POLIS SAHKAN TIADA UNSUR JENAYAH, KHIANAT

KEBAKARAN 27 RUMAH DI KAMPUNG CINA: POLIS SAHKAN TIADA UNSUR JENAYAH, KHIANAT

60
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah atau perbuatan khianat dikesan dalam kejadian kebakaran besar yang memusnahkan 27 buah rumah di Kampung Gok Kapor di sini semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati kebakaran yang membabitkan rumah separuh kayu dan separuh batu itu berlaku di kawasan seluas kira-kira enam ekar, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pasukan forensik JBPM bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

“Dalam kejadian tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima maklumat awal berhubung kejadian tersebut daripada MERS 999 pada jam 12.40 tengah hari sebelum anggota polis dan pasukan penyelamat digerakkan ke lokasi.

“Menurut saksi, asap dan api mula dikesan sekitar jam 12 tengah hari sebelum merebak dengan pantas berikutan kedudukan rumah-rumah yang berhampiran antara satu sama lain.

“Kebakaran itu menyebabkan tahap kemusnahan yang berbeza-beza terhadap 27 rumah terlibat, manakala jumlah kerugian masih dalam proses penilaian oleh pihak berkaitan,”katanya.

Beliau berkata pasukan JBPM yang menerima panggilan kecemasan pada jam 12.34 tengah hari tiba di lokasi enam minit kemudian sebelum berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran sepenuhnya pada jam 5.30 petang.

Operasi pemadaman membabitkan 38 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat  (BBP) Kota Darul Naim, Kota Bharu, Tunjong serta Pasukan Bomba Sukarela Kota Bharu dengan bantuan empat jentera bomba, dua jentera tangki air, lima motosikal bomba dan sebuah Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here