KUALA LUMPUR: Kemuncak Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 melabuhkan tirai dengan meriah malam tadi.
Namun, sebaik sahaja anugerah itu tamat, ramai netizen memperkatakan berkenaan Bella Astilah selepas menyampaikan anugerah kepada selebriti yang pernah dikaitkan dengan bekas suaminya, Alif Aziz sebelum ini.
“Kawan yang terdekat saja tahu apa dia buat dekat hidup Bella dulu dan itu bukan cara menyampaikan anugerah.
“Tapi tadi (semalam) jadi macam itu mungkin pada orang yang dah memberi trauma pada hidup dia.
“Dia menggigil sebab trauma, dia saja pernah nampak apa yang orang tak tahu sehingga hari ini.”
Memetik laporan Harian Metro, perkongsian itu ditulis pembantu peribadi kepada penyanyi dan pelakon tersebut iaitu Niel Rafeq di Instagram Story bagi menjawab kritikan terhadap Bella yang didakwa tidak profesional ketika menyampaikan anugerah kepada pelakon, Sophia Albarakbah bagi kategori Selebriti Feminin Terhangat di Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025, malam tadi.
Sophia adalah wanita yang dikatakan pernah mengganggu rumah tangga Bella bersama bekas suaminya, Aliff Aziz sebelum ini.
Dalam masa sama, Niel turut menjelaskan Bella hanya menyerahkan segala yang berlaku kepada ketentuan Allah.
“Bella selalu pesan pada kami yang penting Allah tahu. Dia selalu percaya Allah akan sayang dan beri yang terbaik buat orang yang sabar,” tulisnya.
Niel turut meletakkan tanda pagar #janganbuatinnocent yang seolah-olah menyindir individu tertentu.
Semalam, suasana penyampaian trofi oleh Bella kepada Sophia kelihatan ‘tidak mesra’, ‘canggung’ dan ‘tegang’ apabila masing-masing tidak bersalaman di atas pentas.
“Yang ni saya kenal, kenal sangat. Sophia,” kata Bella ketika mengumumkan kemenangan Sophia. Selain tidak menyebut nama penuh, Bella juga dilihat terus memalingkan mukanya sebaik menyerahkan trofi dan bunga kepada Sophia.
Menguatkan lagi dakwaan itu, Bella juga terus menghilangkan diri selepas acara tamat dan langsung tidak muncul di bilik sidang media walaupun memenangi kategori Selebriti Couple Goals Terhangat bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
Januari tahun lalu, nama Sophia pernah dikaitkan sebagai orang ketiga dalam konflik rumah tangga Bella dan Aliff.
Bella dan Aliff akhirnya bercerai pada 13 Jun lalu. Mereka memiliki dua anak, Ayden Adrian dan Ara Adreanna. – HMetro Online –
IMedikel TV






