Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandang serius isu kekurangan bekalan daging babi tempatan susulan penutupan beberapa ladang di Selangor akibat penularan penyakit Demam Babi Afrika (ASF).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu kenyataan, berkata penutupan itu bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada penternak, malah mengakibatkan harga daging babi segar tempatan meningkat mendadak dan memberi kesan langsung kepada pengguna.
“Sebagai langkah segera, Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup mempengerusikan mesyuarat bersama Gabungan Persatuan Pedagang Daging Babi. Dalam mesyuarat itu, persatuan menyatakan hasrat untuk mengimport daging babi dari Thailand, Brazil dan China bagi menampung keperluan pasaran.
“Cadangan ini akan diteliti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya setakat ini, Malaysia masih boleh mengimport daging babi dari negara-negara seperti Eropah, Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom.
Jelasnya pengimport disaran mendapatkan bekalan dari negara-negara tersebut dalam tempoh terdekat.
“KPKM juga akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengkaji cadangan kawalan harga daging babi, selaras dengan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
“Bagi menangani isu ASF dalam jangka panjang, KPKM menyeru semua pengusaha ladang babi beralih kepada sistem Modern Pig Farming (MPF) yang lebih selamat dan bebas penyakit.
Dalam hal ini, KPKM mengalu-alukan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Perak, dan Sabah terhadap pelaksanaan MPF. Ini termasuk usaha Kerajaan Negeri Sarawak dan Negeri Sembilan dengan pengezonan Pig Farming Area (PFA) khusus untuk industri babi di negeri tersebut.
Mohamad berkata MPF dan PFA adalah konsep perladangan moden dengan penerapan sistem terkini yang mampu meningkatkan biosekuriti dan mengurangkan risiko penularan penyakit dalam industri babi negara.
“Kami bersedia membantu pemain industri dalam proses transformasi ini termasuk mengadakan sesi libat urus dalam masa terdekat,” katanya.
KPKM mensasarkan kadar sara diri (SSL) sebanyak 90 peratus daging babi tempatan menjelang tahun 2030 melalui pelaksanaan pelan jangka pendek dan panjang ini.
IMedikel TV






