PARIS: Tunjuk perasaan berhubung kemudahan pendidikan yang daif, dengan sebahagian daripadanya bertukar ganas, kini merebak ke 338 sekolah di Perancis setakat Selasa, kata Kementerian Pendidikan di Paris, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut kementerian itu, akses ke 40 sekolah tinggi masih terhalang sepenuhnya menjelang tengah hari, manakala penunjuk perasaan di 44 sekolah lain cuba membuat kepungan.
Memetik laporan Bernama-dpa menerusi Harian Metro, tunjuk perasaan itu mengakibatkan 40 tangkapan dan 10 kecederaan, termasuk dalam kalangan pelajar serta guru, manakala kesatuan pelajar sekolah tinggi USL menganggarkan kira-kira 400 sekolah terjejas akibat kepungan berkenaan.
Bantahan yang menyasarkan isu kekurangan peruntukan, kekurangan guru serta bangunan sekolah yang daif itu bermula di sekolah-sekolah menengah di wilayah metropolitan Paris pada Jumaat.
Pada Isnin, puluhan orang cedera dan sekurang-kurangnya 164 ditahan semasa bantahan di sekolah-sekolah di beberapa bandar Perancis. Pihak kerajaan mengutuk tindakan ganas penunjuk perasaan, manakala pihak kesatuan menolak tindakan keras polis terhadap apa yang disifatkan sebagai bantahan sah oleh golongan muda.
Selasa turut menyaksikan mogok secara nasional oleh sektor awam Perancis bagi membantah cadangan pemotongan dalam draf belanjawan tahun depan yang bakal dibentangkan Perdana Menteri Sébastien Lecornu pada Khamis.
Penjimatan berbilion euro diperlukan susulan hutang negara Perancis yang meningkat ke tahap rekod.
Kelompok tengah Blok dipimpin Presiden Emmanuel Macron yang kekurangan kerusi majoriti dijangka mengadakan rundingan bersama Parti Sosialis bagi mencapai kompromi. Memandangkan Pilihan Raya Presiden semakin hampir tahun depan, pemotongan secara besar-besaran dijangka tidak berlaku. – Bernama-dpa, HMetro Online –
IMedikel TV






