Home Buletin Semasa BANJIR : 22,125 MANGSA BANJIR SELURUH NEGARA, KELANTAN KEKAL NEGERI PALING TINGGI...

BANJIR : 22,125 MANGSA BANJIR SELURUH NEGARA, KELANTAN KEKAL NEGERI PALING TINGGI TERJEJAS

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara meningkat kepada 22,125 orang berbanding 18,645 orang semalam.

Laporan itu dikeluarkan oleh Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 10.21 pagi, hari ini.

Kesemua mangsa terbabit daripada 10 negeri yang terjejas banjir dan kini ditempatkan di 182 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh negara.

Menurut laporan itu, Kelantan masih kekal menjadi negeri paling tinggi terjejas banjir dengan jumlah mangsa direkodkan seramai 9,796 mangsa daripada 3,740 keluarga di 58 PPS.

Setakat ini, sebanyak lapan daerah terjejas banjir di Kelantan berbanding empat daerah semalam, termasuk Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.

Perak menjadi negeri kedua tertinggi terjejas banjir membabitkan jumlah mangsa seramai 4,221 orang daripada 1,356 keluarga dan ditempatkan di 43 PPS.

Selain itu, Kedah pula merekodkan peningkatan mangsa banjir seramai 2,799 orang daripada 1,030 keluarga berbanding 1,641 mangsa daripada 567 keluarga semalam.

Kesemua mereka ditempatkan di 19 PPS.

Manakala, di Selangor jumlah mangsa banjir didapati seramai 2,604 mangsa daripada 707 keluarga dan kini sudah berpindah ke 23 PPS.

Manakala di Perlis, jumlah mangsa adalah 1,783 daripada 629 keluarga di 15 PPS serta Terengganu, 860 mangsa membabitkan 271 keluarga di 20 PPS.

Di Sarawak pula mencatat penurunan 28 mangsa daripada enam keluarga berbanding 32 mangsa daripada tujuh keluarga, semalam yang kini berada di satu PPS, diikuti dengan Pahang, 19 mangsa daripada lapan keluarga juga berada di satu PPS di Dewan Serbaguna Dato Omar Kuala Medang, Lipis.

Seterusnya, Pulau Pinang juga mencatat penurunan jumlah mangsa banjir dengan lapan mangsa daripada satu keluarga berbanding 298 mangsa daripada 82 keluarga, semalam.

Kesemua mangsa itu berada di satu PPS, Kuala Lumpur pula merekodkan tujuh mangsa daripada enam keluarga yang kini sudah berpindah di satu PPS di Pusat Komuniti Seri Petaling, Brickfields.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here