Home Buletin Semasa ARUS DERAS RAGUT NYAWA IBU, ANAK CEDERA RINGAN

ARUS DERAS RAGUT NYAWA IBU, ANAK CEDERA RINGAN

Oleh:Nur Athirah Azman@IMedikel TV

TANAH MERAH: Seorang wanita warga emas ditemui lemas selepas dihanyutkan arus deras sejauh 150 meter sebelum tersangkut pada dahan pokok di kawasan anak sungai di Kampung Batu 5, Jalan Jedok, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Siti Gayah Zakaria, 70, dihanyutkan selepas kereta Proton Saga FLX yang dinaiki bersama anak perempuannya, Shamila Suzie Ahmad Basharuddin, 48, terbabas dan terjatuh ke dalam sungai akibat limpahan air hujan deras di atas jalan raya.

Pegawai Bomba Kanan II, Azhari Mamat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.13 pagi sebelum tiba bersama enam anggota bomba di lokasi tiga minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, seorang mangsa iaitu pemandu terselamat di dalam kereta, manakala ibunya hilang dihanyutkan arus deras.

“Kereta mereka tersangkut pada pembentung,” katanya ketika dihubungi kru Imedikel TV, di sini, hari ini.

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat digerakkan serta-merta sebelum mangsa ditemui pada jam 7.49 pagi, dalam keadaan terlentang dan tersangkut pada dahan pokok di kawasan anak sungai, kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian.

Katanya, Shamila Suzie mengalami kecederaan ringan dan kini berehat di rumah kerana masih terkejut dengan kejadian tragis itu.

“Difahamkan, mereka dalam perjalanan dari Tanah Merah menuju Kampung Batu 7 sebelum kereta hilang kawalan dan berpusing akibat jalan licin serta arus deras,” katanya.

Mayat Siti Gayah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here