BANYUWANGI, Indonesia: Bangkai feri KMP Tunu Pratama Jaya ditemukan dalam keadaan terbalik di dasar laut Selat Bali oleh pasukan penyelamat Indonesia pada Sabtu, dengan 17 orang dilaporkan masih hilang selepas ia karam pada 2 Julai lalu.
Portal Antara melaporkan pasukan pencarian bawah laut juga berjaya merakam imej visual pertama feri yang karam itu, menurut Timbalan Operasi dan Kesiapsiagaan di Agensi Nasional Mencari dan Menyelamat (Basarnas), Ribut Eko Suyatno.
Bercakap kepada wartawan di Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi, Jawa Timur, beliau berkata, penemuan itu akan dilaporkan secara rasmi kepada Basarnas dan Kementerian Pengangkutan.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro,dalam operasi dijalankan pada hari sama, Ketua Polis Banyuwangi, Komisioner Kanan Rama Samtama Putra, berkata, mayat seorang wanita yang ditemukan seorang nelayan di Bali.
Nelayan itu menemukan mayat itu kira-kira empat kilometer dari pantai berhampiran Kampung Pengambengan di Jembrana, Bali.
Sementara itu, Basarnas melanjutkan operasi pencarian atas dasar kemanusiaan sehingga hari ini (14 Julai).
Ia susulan lanjutan tiga hari operasi yang sepatutnya berakhir pada 11 Julai lalu.
Suyatno berkata, agensinya akan menilai semula sama ada keperluan untuk melanjutkan semula operasi terbabit.
Sehingga petang Sabtu iaitu hari ke-10 operasi, jumlah kematian yang disahkan adalah 18 orang dengan 30 orang terselamat, manakala 17 lagi masih belum ditemukan.
Feri jenis roll-on/roll-off itu membawa 53 penumpang, 12 anak kapal dan 22 kenderaan ketika berlepas dari Pelabuhan Ketapang di Banyuwangi, Jawa Timur pada 10.56 malam, 2 Julai lalu.
Ia karam dalam perjalanan menuju ke Pelabuhan Gilimanuk di Bali sekitar jam 11.35 malam. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






