KUALA LUMPUR: Penyanyi Azharina Azhar, 40, mendedahkan pernah mengalami kepenatan mental dan emosi hingga memberi kesan kepada kerjaya seni.
Memetik laporan Berita harian, bagaimanapun, Azharina mengakui dia kini lebih terbuka bercakap mengenai kesihatan mental dan kesejahteraan emosi, selepas menghadiri sesi terapi.
Azharina mendakwa pulih selepas menjalani penyembuhan emosi dan pemulihan semangat diri bersama figura yang dikenali sebagai Dr Healing atau Dr Hisham Dzakiria.
“Saya pernah sampai ke tahap terlalu penat secara mental dan emosi. Ramai nampak saya menyanyi, tersenyum atas pentas, tapi hakikatnya, saya simpan terlalu banyak luka lama.
“Apabila saya sertai sesi dengan Dr Hisham, saya mula menangis tanpa sedar. Rasa macam saya dilepas dan dibebaskan. Itu pengalaman yang saya tidak pernah rasa sebelum ini,” katanya.
Azharina mengakui kehadiran Dr Hisham dalam hidupnya menjadi titik perubahan yang sangat bermakna terutama dalam proses dia membina semula kekuatan dalaman selepas melalui pelbagai cabaran hidup yang tidak mudah.
“Walaupun saya sudah biasa tampil kuat di hadapan khalayak, hakikatnya, hati manusia tetap rapuh apabila tidak dijaga.
“Itulah yang membawa saya kepada sesi khas bersama Dr Hisham, jurulatih dan penyembuh jiwa yang bukan sahaja berpengaruh dalam dunia korporat, malah semakin mendapat tempat dalam kalangan artis dan tokoh masyarakat,” katanya.
Azharina berkata, apa yang membezakan Dr Hisham daripada mana-mana penceramah atau jurulatih lain ialah keupayaannya melihat terus ke dalam jiwa seseorang, tanpa menghakimi dan mencipta ruang yang benar-benar selamat untuk seseorang meluah serta memulihkan diri.
“Saya tak malu hendak cakap saya pun perlukan healing dan saya sangat bersyukur ditemukan dengan Dr Hisham. Saya doakan lebih ramai orang berpeluang rasa sendiri magis yang beliau bawa.
“Saya kini menyanyi dengan hati yang lebih ‘ringan’. Apabila hati sembuh, suara kita pun jadi lebih jujur,” katanya.
Dr Hisham atau lebih dikenali sebagai Dr Healing adalah jurulatih, pendidik dan pakar transformasi diri yang membantu individu dari pelbagai latar belakang untuk bangkit semula daripada tekanan hidup, trauma dan krisis identiti.
Beliau terkenal dengan pendekatan holistik yang menyatukan aspek tubuh, emosi, minda dan jiwa dalam setiap sesi yang dikendalikannya. – BH Online –
IMedikel TV






