WASHINGTON: Dua askar Pengawal Nasional ditembak semalam, berhampiran Rumah Putih dalam apa yang digambarkan oleh pegawai sebagai serangan hendap yang disasarkan.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, seorang pegawai Jabatan Kehakiman yang enggan dikenali, berkata penyiasat mengenal pasti suspek sebagai Rahmanullah Lakanwal, seorang warga Afghanistan berusia 29 tahun dari Washington.
“Suspek yang bertindak berseorangan ditahan selepas mengalami luka tembakan semasa serangan, kini disiasat sebagai tindakan keganasan,” katanya.
Pegawai itu berkata, Lakanwal tiba di Amerika Syarikat (AS) pada 2021 menerusi program visa khas untuk rakyat Afghanistan yang membantu AS semasa perang Afghanistan dan berisiko dibalas oleh Taliban selepas pengunduran tentera AS.
Namun, dia dilaporkan tinggal melebihi tempoh visa dan kini berada di negara itu secara tidak sah.
Ketika serangan itu, Presiden Donald Trump berada di Florida, sementara Rumah Putih diarahkan berkurung apabila pasukan keselamatan Persekutuan dan bandaraya bergegas ke lokasi.
Penolong Ketua Polis Metropolitan, Jeff Carroll, berkata dua anggota yang cedera itu, dari Pengawal Nasional Virginia Barat, sedang melakukan rondaan kira-kira jam 2.15 petang (waktu tempatan) berhampiran persimpangan Jalan 17 dan I, hanya beberapa blok dari Rumah Putih.
“Suspek dipercayai muncul dari satu sudut dan melakukan serangan hendap,” katanya.
Sementara itu, Pengarah FBI, Kash Patel, berkata selepas berlaku tembak-menembak, anggota Pengawal Nasional lain berjaya ‘melumpuhkan’ suspek.
“Kedua-dua anggota yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal di hospital tempatan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Washington Muriel Bowser berkata, ini adalah serangan yang disasarkan.
Dalam hantaran di media sosial, Trump menyifatkan suspek sebagai ‘haiwan’ yang akan menerima balasan dan memuji tindakan Pengawal Nasional.
Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, berkata Trump turut mengarahkan tambahan 500 anggota Pengawal Nasional dihantar ke Washington, menjadikan keseluruhan kira-kira 2,200 anggota kini ditempatkan di bandar itu.
Tindakan itu adalah sebahagian daripada tindakan keras Presiden terhadap isu imigresen dan jenayah di bandar-bandar yang diterajui Demokrat. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






