Kerajaan Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan akan membanteras penggajian buruh kanak-kanak di negara itu susulan bilangan pekerja bawah umur secara haram meningkat sebanyak dua pertiga sejak 2018.
Peningkatan kes berkenaan di AS selari dengan kemasukan besar-besaran kanak-kanak pelarian ke negara itu secara perseorangan.
Mereka melarikan diri daripada kemiskinan dan keganasan di Amerika Latin, dengan 130,000 orang dirujuk ke pusat perlindungan kerajaan AS bagi tahun fiskal yang lalu.
Setiausaha Buruh, Marty Walsh dalam satu kenyataan, berkata buruh kanak-kanak sepatutnya sudah dihapuskan pada abad ke-19, ia tidak sewajarnya menjadi masalah hari ini.
“Justeru, kami memerlukan Kongres dan wakil negeri untuk duduk berbincang, bagi menggembleng sumber yang luas untuk menangani masalah ini,” katanya.
Sepanjang tahun fiskal yang lalu, Jabatan Buruh mengenal pasti 835 syarikat melanggar undang-undang dengan mengupah 3,800 orang kanak-kanak dan menyaksikan peningkatan 26 peratus kanak-kanak diupah khusus untuk pekerjaan berbahaya.
Menurut seorang pegawai kanan pentadbiran dalam satu taklimat media, trend semasa itu semakin membimbangkan.
Dalam usaha mengekang peningkatan kes sedemikian, pasukan petugas bersama membabitkan Jabatan Buruh serta Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia ditubuhkan.
Ia bertanggungjawab ke atas kemasukan kanak-kanak bawah umur ke negara itu secara bersendirian dan akan meningkatkan perkongsian maklumat antara kedua-dua agensi.
Jabatan Buruh turut mengambil inisiatif menumpukan kepada penguatkuasaan undang-undang sedia ada yang lebih cekap, terutama di wilayah dan industri yang dikenal pasti merekodkan kes itu secara meluas.
Jabatan itu turut berikrar untuk mempertanggungjawabkan syarikat jika kontraktor dan agensi pekerjaan sementara didapati memanipulasi buruh kanak-kanak.
Mengikut undang-undang sedia ada, denda maksimum jika melanggar undang-undang buruh kanak-kanak ialah AS$15,138 (RM67,825) bagi setiap kes.
Jabatan Buruh dalam satu kenyataan berkata, jumlah denda yang dikenakan tidak cukup tinggi untuk menghalang syarikat besar yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Di AS, kanak-kanak dibenarkan mula bekerja pada usia 14 tahun, dengan tempoh jam terhad bagi kanak-kanak bawah 16 tahun supaya mereka boleh hadir ke sekolah.
Sumber: BH Online & AFP
— Imedikel TV






