BUERGENSTOCK: Negara pengantara gencatan senjata perang Israel-Palestin, Qatar dan Mesir akan teruskan rundingan dengan Hamas bagi menzahirkan usul Israel yang kemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.
Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Jake Sullivan, berkata pihaknya sudah berbincang secara ringkas bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani mengenai perkara itu.
“Kami berhasrat untuk berbincang semula mengenai Gaza pada Ahad di Switzerland ketika Sidang Kemuncak Keamanan Ukraine,” katanya di luar sidang kemuncak itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai usaha diplomatik memujuk Hamas membebaskan beberapa tebusan yang diculik pada 7 Oktober lalu sebagai pertukaran untuk gencatan senjata.
Sebelum ini, Hamas mengalu-alukan cadangan gencatan senjata itu, namun menegaskan sebarang perjanjian perlu memberi jaminan terhadap penamatan perang, yang ditolak sama sekali oleh Israel.
Israel menyifatkan maklum balas Hamas terhadap cadangan AS itu sebagai penolakan sama sekali semua syarat gencatan senjata yang dikemukakan.
Pada masa sama, Sullivan berkata, AS sudah meneliti tindak balas Hamas dan menyifatkan beberapa perubahan mengenai proses itu memang dijangkakan tetapi masih boleh diuruskan.
“Sebahagian daripadanya tidak konsisten antara apa yang dibentangkan Biden dan perkara disahkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
“Kita perlu menangani hakikat ini jika mahu mencapai kemajuan dalam rundingan gencatan senjata,” katanya.
Beliau berkata, AS percaya masih ada ruang untuk memeterai perjanjian gencatan senjata dengan langkah seterusnya meminta Qatar dan Mesir berkomunikasi dengan Hamas.
Katanya, tindakan itu perlu bagi melihat sebarang ruang yang boleh diusahakan dan mengetahui jalan tengah yang dapat diterima baik oleh Hamas mahupun Israel.
“Kami menjangkakan proses dikendalikan negara pengantara dan Hamas ini akan berulang-alik, manakala kami (AS) akan terus berunding dengan Israel.
“Kami berharap pada minggu hadapan akan ada suatu perkembangan dan langkah seterusnya bagi membawa perkara ini kepada suatu penyelesaian tuntas,” katanya. – REUTERS, BH Online –
IMEDIKEL TV






