Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Taktik sindiket pengedaran dadah menjadikan rumah rakit dan kediaman berpagar serta berpengawal sebagai lokasi penyimpanan bekalan terbongkar selepas polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM7.93 juta dalam tiga serbuan di Masai dan Ulu Tiram, di sini, 12 Ogos lalu.
Serbuan bermula kira-kira jam 3.45 petang itu membawa kepada penahanan lapan lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 35 hingga 65 tahun.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Masai, tiga lelaki ditahan sebelum polis menemukan 39.809 kilogram (kg) serbuk disyaki MDMA, 4.91kg ketamin dan 13,400 pil Erimin 5 seberat 3.85kg.

“Polis turut merampas 216 gram syabu, 22.72kg serbuk disyaki ekstasi serta dua mesin dipercayai digunakan untuk memproses ekstasi selain peralatan pembungkusan semula dadah.
“Serbuan kedua di sebuah rumah rakit di Masai membawa kepada penahanan empat lelaki, termasuk individu dipercayai ‘mastermind’ sindiket, selain polis merampas 572 gram serbuk disyaki ekstasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Manakala menurutnya, serbuan ketiga di sebuah rumah di Ulu Tiram pula membawa kepada penahanan pasangan kekasih.
“Daripada lokasi itu, polis merampas 230 katrij cecair disyaki syabu berjumlah 0.575 liter, 1.149kg serbuk ekstasi dan 358 gram syabu.
“Turut dirampas 9,625 pil Erimin 5 seberat 1.925kg serta 18.4 liter cecair disyaki ketamin yang disimpan dalam 24 botol plastik,” katanya.
Chuan Huat berkata, keseluruhan rampasan membabitkan 40.381kg serbuk MDMA, 23.869kg serbuk ekstasi, 23,025 pil Erimin 5 seberat 5.775kg, 574 gram syabu, 4.91kg ketamin, 18.4 liter cecair ketamin dan 0.575 liter cecair syabu.
Katanya, bekalan dadah itu dianggarkan mampu merosakkan sehingga 323,841 orang sekiranya sempat diedarkan ke pasaran.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Januari lalu dan setiap suspek mempunyai peranan masing-masing termasuk sebagai runner, pembantu, penjaga stor, mekanik bot dan penjaga rumah rakit.
“Seorang lagi dipercayai bertindak sebagai dalang sindiket, manakala seorang suspek dipercayai terbabit dalam pemprosesan pil ekstasi dan katrij vape,” katanya.
Katanya kesemua suspek kini direman sehingga 25 Ogos ini bagi membantu siasatan, manakala enam daripada sembilan suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Saringan awal air kencing turut mendapati kesemua suspek positif methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.
Dalam operasi sama, polis turut menyita lima kereta, dua bot laju serta wang tunai RM11,320, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dan sitaan mencecah RM8.14 juta.
Sementara itu, beliau berkata, Polis Johor turut melupuskan 532.76kg pelbagai jenis barang kes dadah bernilai RM40.02 juta bagi tempoh 1999 hingga 2025.
IMedikel TV






