SRI LANKA: Doktor di Sri Lanka, baru-baru ini, berjaya mengeluarkan batu karang seberat 3.1 kilogram (kg) dari pundi kencing seorang lelaki, dipercayai terbesar pernah direkodkan, lapor BBC.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, prosedur pembedahan itu dijalankan minggu lalu di sebuah hospital di Trincomalee, di timur Sri Lanka.
Pesakit lelaki berusia 55 tahun itu dimasukkan ke hospital selepas mengalami angin ahmar. Bagaimanapun, ketika rawatan, doktor mendapati terdapat batu karang di dalam pundi kencing lelaki itu selepas pesakit mengalami kesukaran membuang air kecil.
Dalam pembedahan itu, doktor berjaya mengeluarkan batu karang berkenaan yang beratnya menyamai bayi cukup bulan dan bersaiz kira-kira sebesar telur burung unta.
“Menurut rekod yang ada, ini adalah batu karang pundi kencing terbesar yang pernah didokumentasikan dan dikeluarkan melalui pembedahan,” kata Dr Prahalahan Balakrishnan yang mengetuai pembedahan itu kepada BBC Sinhala.
Katanya, pesakit kini dalam keadaan kesihatan yang sangat baik dan masih dirawat di hospital bagi masalah kesihatan lain dialaminya.
Menurut Dr Balakrishnan, batu karang itu dipercayai berada di dalam pundi kencing pesakit, antara lima hingga 10 tahun.
Batu karang pundi kencing terbentuk apabila mineral dalam air kencing menjadi kristal dan membentuk gumpalan pepejal.
Keadaan itu biasanya berlaku apabila pundi kencing tidak dapat dikosongkan sepenuhnya menyebabkan air kencing menjadi pekat dan seterusnya membentuk kristal.
Batu karang pundi kencing bersaiz kecil seperti butiran pasir boleh keluar dengan sendiri. Bagaimanapun, batu karang lebih satu sentimeter (sm) boleh menyumbat aliran air kencing dan memerlukan rawatan perubatan. Batu karang pundi kencing berukuran lebih empat sm pula dikategorikan sebagai gergasi.
Menurut Rekod Dunia Guinness, batu karang pundi kencing terbesar yang pernah direkodkan sebelum ini dikeluarkan daripada seorang pesakit di Brazil pada 2003. Batu karan itu seberat 1.9 kg dan berukuran 17.9 sm panjang.
Sementara itu, batu karang pundi kencing yang dikeluarkan daripada pesakit di Sri Lanka minggu lalu berukuran kira-kira 17 sm panjang. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






