SERDANG: Selepas melengkapkan misi hatrik pingat emas, raja pecut Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, Danish Iftikhar Muhammad Roslee kini berpeluang mengukir satu lagi kejayaan apabila namanya mula disebut sebagai calon Olahragawan temasya kali ini.
Memetik laporan Berita Harian, atlet Johor berusia 19 tahun itu menampilkan aksi luar biasa apabila berjaya mempertahankan emas acara 100 meter (m) lelaki yang dimenanginya pada SUKMA Sarawak 2024 selepas merekodkan masa 10.27 saat (s), Ahad lalu.
Kecemerlangannya diteruskan apabila dia membantu kuartet 4x100m Johor muncul juara dengan catatan 39.46s sekali gus memecahkan rekod baharu kejohanan.
Semalam, Danish melengkapkan status sebagai raja pecut SUKMA Selangor 2026 selepas mengungguli acara 200m lelaki dengan masa 20.85s yang turut memperbaharui rekod temasya.
Pencapaian tiga emas selain dua rekod baharu kejohanan meletakkan pelari kelahiran Johor itu antara calon untuk merebut anugerah Olahragawan SUKMA Selangor 2026 berdasarkan kriteria pemilihan yang mengambil kira jumlah pingat emas, rekod kebangsaan atau rekod temasya yang dipecahkan.
Selain itu, jawatankuasa pemilihan turut mempertimbangkan jumlah pingat berbanding acara disertai serta pencapaian menerusi acara individu.
Bagaimanapun, Danish mengakui tidak meletakkan sasaran khusus untuk meraih gelaran berkenaan sebaliknya hanya mahu memberikan aksi terbaik dalam setiap acara yang disertai.
“Untuk mendapat Olahragawan pada tahun ini, insya-Allah…saya tak ada sasarkan apa-apa. Saya cuma buat yang terbaik pada acara saya.
“Kalau ada rezeki untuk Olahragawan, insya-Allah saya mengharapkan juga, tapi apa-apa pun semua atas rezeki Allah,” katanya ketika ditemui.
Ditanya mengenai peluangnya berdasarkan pencapaian yang dilakar, Danish hanya mampu mengharapkan yang terbaik.
“Insya-Allah,” katanya ringkas.
Dalam pada itu, Danish menyasarkan untuk memecahkan rekod kejohanan SUKMA acara 100m milik bekas raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan iaitu 10.18s yang dilakar pada edisi Sarawak 2016 pada penampilan terakhirnya di Kelantan dua tahun lagi.
“Itu adalah sasaran saya sebelum habis umur 21 tahun. Saya masih ada satu lagi SUKMA dan insya-Allah jika diberi peluang serta kelebihan, saya akan cuba lakukan yang terbaik,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






