Home Luar Negara ARAB SAUDI UMUM RANCANGAN UNTUK PASPORT UNTA

ARAB SAUDI UMUM RANCANGAN UNTUK PASPORT UNTA

RIYADH: Arab Saudi mengumumkan rancangan untuk mengeluarkan pasport kepada jutaan unta di negara itu bagi membantu pengurusan lebih teratur terhadap haiwan berkenaan.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian memaklumkan, inisiatif itu bertujuan meningkatkan produktiviti dan kecekapan sektor unta, selain membina pangkalan data rujukan yang boleh dipercayai.

Hantaran media sosial kementerian berkenaan pada 3 Februari lalu memaparkan, imej pasport berwarna hijau yang dicop jata negara serta gambar unta berwarna emas.

Menurut penyiar milik kerajaan, Al Ekhbariya, pasport itu akan membantu mengatur operasi jual beli dan perdagangan membabitkan unta.

Difahamkan, langkah itu juga bertujuan mengawal selia urusan komersial dan pengangkutan, selain memastikan dokumentasi rasmi disediakan.

Selain itu, pasport berkenaan berfungsi melindungi hak pemilik serta memudahkan proses pembuktian pemilikan unta.

Pada 2024, kerajaan Arab Saudi menganggarkan terdapat kira-kira 2.2 juta ekor unta di negara itu.

Unta sejak sekian lama menjadi mod pengangkutan yang penting di Arab, melambangkan status pemiliknya serta menyumbang kepada kebangkitan industri pembiakan yang menguntungkan.

Dalam pada itu, Arab Saudi juga menganjurkan pertandingan kecantikan unta sempena festival tahunan yang menyaksikan peminat membelanjakan ratusan ribu dolar untuk haiwan pertandingan.

Sementara itu juga, penganjur sejak beberapa tahun kebelakangan ini memperketat tindakan terhadap pengubahsuaian kosmetik yang dilarang, termasuk teknik menjadikan bibir unta lebih terkulai dan bonggol lebih cantik.

Kaedah untuk menjadikan bibir unta kelihatan lebih terkulai dan bonggolnya lebih menarik bentuknya khususnya tidak disenangi pihak berkuasa, yang mahu menggalakkan penampilan semula jadi.

Unta menjadi elemen penting dalam kehidupan di Semenanjung Arab selama ribuan tahun, dengan penyelidikan pada 2021 mencadangkan ukiran unta dan kuda bersaiz sebenar di Arab Saudi mungkin berusia sekitar 7,000 tahun. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here