Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Umum kita ketahui, bibir merekah, lidah kering dan kulit yang kusam adalah antara tanda-tanda kekurangan air dalam badan atau dehidrasi.
Apakah itu dehidrasi? Dehidrasi boleh berlaku pada setiap peringkat umur termasuk bayi.
Ia juga boleh berlaku apabila jumlah air yang meninggalkan tubuh lebih banyak daripada jumlah yang diambil.
Pada asasnya, seseorang perlu mengambil air secukupnya di dalam badan.
Dehidrasi biasanya berlaku kerana terlalu banyak air yang dibuang daripada badan, air tidak mencukupi atau kedua-dua faktir tersebut.
Antara penyebab dehidrasi ialah cirit birit, muntah, berpeluh, diabetes dan kulit terbakar.
Dalam pada itu, selain bibir merekah, lidah kering dan kulit kusam, antara gejala lain dehidrasi ialah :
• Air mata berkurang
• Peluh boleh berhenti
• Kekejangan otot
• Pening dan muntah
• Rasa berdebar-debar
• Sakit kepala (terutama apabila berdiri)
• Lemah-lemah badan
• Berkurangnya pengeluaran air kencing
Adakah dehidrasi memerlukan rawatan? Jawapannya ya, pencegahan adalah langkah pertama yang penting dalam rawatan dehidrasi. Penggantian cecair adalah rawatan untuk dehidrasi. Ini boleh dicuba dengan menggantikan cecair melalui mulut, tetapi jika cara ini gagal, cecair intravena (IV) mungkin diperlukan.
Sekiranya rehidrasi oral cuba dilakukan, jumlah cecair yang digunakan haruslah dalam kuantiti yang kecil dan kerap diberikan.
Antara rawatan yang digunakan dalam masalah dehidrasi ialah:
• Air (air semata-mata tidak semestinya selamat digunakan pada bayi dan boleh menyebabkan masalah berkaitan elektrolit. Oleh sebab itu, cecair elektrolit seimbang perlu digunakan.
• Sup kosong
• Popsikel
• Cecair pengganti lain yang mungkin mengandungi elektrolit
• Penggunaan cecair intravena bergantung kepada penilaian doktor yang profesional mengenai tahap dehidrasi, keupayaan pesakit untuk minum cecair melalui mulut, dan kebolehan pesakit untuk pulih daripada penyebab dehidrasi.
Perlu diingatkan ketidakupayaan untuk meminum air secukupnya juga adalah salah satu penyebab kepada dehidrasi. Sama ada kekurangan air, loya mual dan muntah-muntah, atau kurangnya kekuatan untuk minum. Jadi, perlu minum air secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi.
IMedikel TV






