Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Surirumah Zilawati Abdullah, 38 yang berasal dari Kampung Aur Telong, Bachok bersama tiga anak gembira kerana dipilih menerima pakaian hari raya daripada Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Semalam Tengku Muhammad Fakhry berkenan meraikan 30 anak yatim, orang kurang upaya (OKU) serta asnaf terpilih membeli-belah pada Program Community Policing ‘Raja Bersama Marhaen’ Lebaran Penuh Makna di pasaraya di sini.
“Kami sememangnya belum lagi membeli baju raya dan bersyukur dengan pemberian ini, sekali gus dapat merasai kegembiraan di hari raya nanti.
“Kami tidak mampu membeli pakaian raya dan hanya berhajat memakai pakaian sedia ada memandangkan pendapatan yang diperoleh hanya cukup untuk makan minum sahaja,” katanya.

Menurutnya pendapatan mereka hanya bergantung kepada kerja suaminya yang juga OKU pelbagai termasuk pekak dan masalah pembelajaran, Mohd Ismail Abdul Hamid, 40, mengutip kelapa setiap hari dengan memperoleh RM40 sehari.
Tengku Muhammad Fakhry berkenan berangkat pada jam 5 petang disambut Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dan pegawai kanan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan di Pasaraya Aeonmall, di sini.
Sementara itu Muhamad Zaki berkata pihaknya menyantuni golongan kurang berkemampuan yang belum memiliki baju raya pada saat-saat akhir berbaki tiga hari lagi.
Katanya lebih RM300 setiap orang menerima peruntukan sumbangan baju dan kelengkapan raya.
IMedikel TV






