Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kemeriahan malam tahun baru di negeri ini disambut baik dengan aktiviti kerohanian, malam tadi.
Acara dimulakan dengan solat isyak dan solat sunat berjemaah bersama-sama.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassaruddin Daud,dalam ucapannya, menekankan tiga fokus dengan mengambil inspirasi ayat ke-18 surah al-Hasyr sebagai amanat menjelang tahun 2025.

“Memetik ayat ke-18 dari surah al-Hasyr agar kita semua beriltizam dengan taqwa, bermuhasabah terhadap amalan dan mengutamakan kehidupan akhirat.
“Ketiga-tiga fokus atau nilai ini hendaklah dipadukan dengan semua aspek kehidupan kita sama ada kita sebagai anak muda, pekerja mahupun dalam konteks sebagai sebuah kerajaan,”katanya dalam ucapan, dalam program Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 Anak Muda Berselawat, di Mydin Tunjong, di sini.
Ambang tahun baru turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran penceramah terkenal tanah air Mohammad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar yang menyampaikan ceramah sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2025.

Majlis tersebut juga diserikan dengan kehadiran penceramah bebas, Harryanto Rizal Rokman atau lebih dikenali sebagai Ustaz Harry.
Sementara itu, Nor Hayati dari Tanah Merah berkata, dia bersama keluarga tiba di Mydin Tunjong, bagi sambutan ambang tahun baharu seawal jam 5.00 petang.
“Saya bersama suami dan tiga anak sampai di sini petang tadi. Kami datang awal kerana sangat teruja untuk menyambut tahun baru malam ini.
“Di Kelantan mungkin sambutannya agak berlainan sedikit berbanding negeri lain. Di sini kita dipenuhi pengisian dari program yang berilmiah dan kerohanian.
“Kita berazam untuk menjadi lebih baik lagi di masa akan datang. Jadi cara terbaik adalah menyambut tahun baru dengan cara berselawat,”katanya.
IMedikel TV






