Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan sebanyak 74 kes gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu dan satu kes kegagalan mempamerkan tanda harga membabitkan nilai kompaun berjumlah RM8,600 sepanjang Perayaan Krismas baru-baru ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Bahagian Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dalam satu kenyataan memaklumkan, kes tersebut didapati apabila pihaknya melaksanakan sebanyak 2,748 pemeriksaan ke atas premis runcit, borong dan pengeluar seluruh negara bermula 23 hingga 27 Disember lalu.
“Daripada jumlah pemeriksaan tersebut, tindakan undang-undang dikenakan ke atas peniaga yang gagal mematuhi sepenuhnya perundangan yang ditetapkan.
“Bagaimanapun tiada kes melibatkan penjualan melebihi harga yang ditetapkan sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Azman berkata, tiada sebarang aduan diterima sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMPK) 2024 dan majoriti peniaga komited mematuhi perundangan harga tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 14 harga barangan di bawah pelaksanaan SHMMPK 2024 termasuk tambahan sembilan harga barangan di Semenanjung Malaysia dan tambahan empat barangan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan serta tambahan lima barangan di Sarawak.
IMedikel TV






