Home Hiburan ALIF SATAR TERUJA SAMBUT CAHAYA MATA KEEMPAT PADA SYAWAL INI

ALIF SATAR TERUJA SAMBUT CAHAYA MATA KEEMPAT PADA SYAWAL INI

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Alif Satar, 36, bakal menimang cahaya mata keempat juga bayi perempuan yang dijangka dilahirkan pada hari raya kedua Aidilfitri ini.

Memetik laporan Harian Metro, Alif berkata, isterinya, Shadila Halid, 42, akan melahirkan anak secara pembedahan dan memohon doa daripada orang ramai agar segala urusan dipermudahkan oleh Allah SWT.

Menurutnya, dia dan isteri akan menimang anak keempat iaitu bayi perempuan pada 2 Syawal akan datang sekali gus menambah seri sambutan Aidilfitri keluarga mereka pada tahun ini.

“Alhamdulillah, saya rasa teruja sangat nak sambut ‘baby’ baru sebab tiga anak pun semakin membesar iaitu Alisha Anugerah, 11, Ariana Mecca, 9, dan Muhammad Ali, 7.

“Ketiga-tiga mereka juga tidak sabar menantikan kelahiran adik baru. Malah, sepanjang Ramadan ini ada dua soalan sering ditanyakan iaitu pukul berapa waktu berbuka dan bayi dalam kandungan sudah besar mana?

“Hanya soalan ini sahaja mereka tanya ulang-ulang. Jadi, saya tengok anak-anak pun sangat teruja untuk tahu bila adik baru mereka dilahirkan dan berapa umur bayi itu sekarang? Ini sahaja fokus mereka,” katanya.

Sebelum itu, Alif ditemui pada majlis pelancaran kempen ‘Baju Raya Lama Baharu’ antara Sun Life Malaysia yang bekerjasama dengan Media Prima Berhad (MPB) di Balai Berita Bangsar, di sini, semalam.

Pengacara ini berkata, Ramadan kali ini memang dirasa amat mengujakan kerana menunggu kelahiran anggota baru memandangkan semua anak kian membesar dan tidak sabar hendak menjaga bayi.

Penyanyi lagu Lelaki Seperti Aku dan pelakon drama Dia Semanis Honey ini turut memaklumkan dia juga sudah membiasakan diri dengan aktiviti berjaga malam sebagai latihan awal sejak beberapa bulan lalu.

Pada masa sama, Alif turut gembira dan bersyukur apabila isterinya berada dalam keadaan sihat termasuk boleh menjalankan ibadah puasa dengan baik walaupun sarat hamil.

“Alhamdulillah, kandungan berada dalam keadaan stabil dan sihat. Isteri saya pun dapat berpuasa sepanjang Ramadan ini, termasuk dia juga tetap bangun sahur dan memasak untuk kami sekeluarga.

“Suasana Ramadan dilalui keluarga saya memang seronok sangat dan terasa dipenuhi kasih sayang. Perancangan 1 Syawal kami akan beraya seperti biasa.

“Pada sebelah siang, insya-Allah akan pergi beraya, makan lemang dan juadah enak hari raya. Pada petangnya pula, kami akan daftar masuk ke hospital dan kalau tiada apa-apa halangan mungkin subuh Aidilfitri kedua bayi akan dilahirkan.

“Tetapi, ini perancangan sahaja kerana semuanya atas ketentuan Allah. Sebab, saya tidak tahu dan hanya berserah kepada Yang Esa. Kalau Allah kata satu dua hari lagi anak akan lahir, saya pun tak boleh nak kata apa,” ujarnya.

Alif yang juga pemenang tempat ketiga program One In A Million pada 2006 bertemu jodoh dengan Shadila yang juga bekas pengurusnya pada 15 September 2014. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here