Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Lebih 12.5 juta rakyat Malaysia memanfaatkan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk semua dengan perbelanjaan lebih RM1 bilion untuk pembelian barangan keperluan asas dalam tempoh tiga minggu pelaksaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata program itu daripada penjimatan negara melalui penstrukturan semula kewangan
“SARA untuk Semua adalah hasil penjimatan yang dicapai melalui penstrukturan semula kewangan negara. Ketirisan ditutup, tatakelola diperkemas dan hasil yang dijimatkan dipulangkan kepada rakyat.
“Ini membuktikan bahawa apabila hasil negara diagih secara saksama, manfaatnya dirasai oleh isi rumah di seluruh negara,”katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) semalam.
Pelaksanaan SARA untuk Semua pada tahun ini mencecah RM97 juta jualan pada hari pertama, hampir dua kali ganda berbanding nilai jualan RM50.7 juta yang direkodkan pada hari pertama tahun lalu.
Sementara itu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, MOF telah memastikan kelancaran sistem bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada pengalaman pembelian rakyat.
“Daripada 3,782 transaksi seminit pada hari pertama pelaksanaan tahun lepas, sistem kini mampu memproses lebih daripada 11,000 transaksi seminit tanpa sebarang kelewatan atau gangguan,”katanya.
Penggunaan MyKad sebagai medium pelaksanaan memudahkan rakyat mendapatkan bantuan bersasar dengan cekap, di samping memastikan penyaluran yang cekap dan terurus.
Setakat ini, 56 peratus pengguna telah menggunakan kredit RM100 yang disediakan di bawah SARA Untuk Semua, dengan baki kredit masih sah digunakan sehingga 31 Disember tahun ini.
Dari segi taburan geografi, kadar penggunaan SARA Untuk Semua setakat ini menunjukkan kadar lebih tinggi di Zon Borneo serta kawasan Pantai Timur dan Utara Semenanjung Malaysia. Negeri dan Wilayah Persekutuan yang mencatatkan kadar penebusan antara yang tertinggi termasuk Sabah (70%), Perlis (65%), Kelantan (64%), Labuan (64%), Terengganu (63%), Kedah (63%), Sarawak (62%), dan Pahang (60%).
Selain membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, program SARA turut menyokong aktiviti ekonomi setempat, khususnya di peringkat komuniti
Bilangan Rakan Niaga SARA kini merangkumi lebih 4,400 kedai runcit kecil di seluruh negara, selain rangkaian pasar raya sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhan premis yang menerima transaksi SARA melebihi 11,300.
Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan bilangan kedai runcit kecil kepada 10,000 menjelang penghujung tahun 2026, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA kepada 20,000.
“Peningkatan ini dijangka mengurangkan jarak purata ke premis penerimaan SARA kepada sekitar 7 kilometer berbanding 10 kilometer ketika ini, sekali gus memudahkan akses rakyat,”jelas kenyataan itu.
IMedikel TV






