Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Ramai yang tidak sedar punca gatal, gelembung dan gelupas pada tangan adalah tanda alergi sabun pencuci pinggan.
Ia sudah menjadi sesuatu yang lazim kerana ramai yang merasakan pedih pada tangan dan kulit selepas mencuci pinggan.
Malah bukan sahaja sabun pinggan tetapi ia merangkumi kesemua sabun yang digunakan dalam kehidupan harian.
Ini kerana sabun dan pencuci adalah produk yang digunakan setiap hari. Semua bahan tersebut diperlukan untuk memastikan badan sentiasa bersih dan kawasan rumah bebas kuman.
Walaubagaimanapun, sesetengah bahan kimia yang terkandung di dalam produk tersebut boleh menyebabkan kegatalan pada kawasan kulit.
Bahan kimia tersebut yang selalu didapati dalam sesetengah sabun harian yang digunakan adalah surfat tants contohnya sodium lauryl sulfate.
Simptom alergi selalunya akan timbul dalam masa 24 hingga 48 jam selepas pendedahan terhadap bahan yang menyebabkan iritasi.
Namun, ruam mungkin akan naik pada kulit dalam masa beberapa jam.
Untuk merawat tangan yang naik ruam disebabkan sabun pencuci pinggan, berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil:
1.Cuci tangan dengan air suam dan lembut:
Pastikan anda membilas tangan dengan air suam dan elakkan daripada menggunakan air yang terlalu panas atau sejuk kerana ini boleh merengsakan kulit lebih teruk.
2.Keringkan dengan Lembut:
Selepas mencuci tangan, keringkan tangan dengan tuala yang lembut. Jangan menggosok terlalu keras kerana ini boleh menyebabkan iritasi lebih banyak.
3.Gunakan krim atau losyen pelembap:
Sapukan krim pelembap yang bebas daripada pewangi dan alkohol selepas mencuci tangan untuk mengekalkan kelembapan kulit.
4.Gunakan krim kortikosteroid (Jika Perlu):
Sekiranya ruam tersebut agak teruk dan menyebabkan keradangan, anda boleh menggunakan krim kortikosteroid yang ringan (contohnya hidrokortison 1%) yang boleh didapati di farmasi. Gunakan krim ini mengikut arahan pada label atau saranan doktor.
5.Amalkan penggunaan produk tanpa bahan kimia keras:
Beralih kepada sabun pencuci pinggan yang lebih lembut, yang tidak mengandungi bahan kimia yang keras atau pewangi yang boleh merengsakan kulit.
Jika ruam atau iritasi tidak sembuh dalam beberapa hari atau semakin teruk, disarankan untuk berjumpa dengan doktor atau pakar dermatologi untuk rawatan lanjut.
IMedikel TV






