KUALA LUMPUR: Jangan anggap perlawanan persahabatan antara gergasi bola sepak Inggeris, Manchester United menentang Asean All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei ini sebagai perlawanan sarkas,
Itu perkara yang ditegaskan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang menyifatkan pertembungan berprestij terbabit dikenali sebagai Piala Cabaran Maybank, mampu memberi impak positif khususnya kepada Malaysia dan barisan pemain tempatan.
Memetik laporan Harian Metro, Khairy, yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), percaya biar pun ia perlawanan pertunjukan luar musim, skuad ‘Red Devils’ itu akan tetap mempamerkan corak permainan sebenar mereka dan tidak datang sekadar untuk ‘makan angin’.
“Perlawanan luar musim semuanya adalah pertunjukan, tak bolehlah kita kata perlawanan sarkas. Ia perlawanan pertunjukan dan orang ramai nak lihat pemain beraksi.
“Saya yakin pasukan United yang datang pun mereka akan menampilkan permainan yang sebenar dan mereka bukan datang ke sini untuk bercuti semata-mata,” katanya dengan nada serius.
Beliau menambah, tarikh perlawanan itu juga strategik kerana ia berlangsung kira-kira seminggu selepas final Liga Europa dan hanya beberapa hari selepas aksi terakhir Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Jadi, mereka masih ‘panas’ dan dalam momentum perlawanan,” tambahnya lagi.
Mengulas mengenai pembabitan pemain tempatan, Khairy menyatakan tidak pasti sama ada senarai akhir pasukan All-Star nanti ada pemain kita atau sebaliknya.
“Namun, seperti biasa apabila pasukan besar datang, ia akan memberi inspirasi kepada semua, maknanya kesan secara tidak langsung itu ada,” katanya.
Sementara itu, legenda Manchester United, Ryan Giggs meluahkan rasa teruja untuk menyaksikan Manchester United kembali beraksi di bumi Malaysia selepas penantian selama 16 tahun.
Kehadiran bekas pemain Wales itu pastinya menambahkan lagi kemeriahan menjelang perlawanan berkenaan. – HMetro Online –
IMedikel TV






